Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Lebih 1,000 pencinta alam dari Malaysia dan Jepun mengambil bahagian dalam aktiviti pena­naman pokok menerusi Kepelbagaian Tanaman Pokok Hutan yang dianjurkan AEON Company Malaysia Bhd bagi mewujudkan hubu­ngan baik antara Sahabat Hutan Malaysia-Jepun di Bidor, Perak.

Inisiatif yang diterajui AEON ini bagi menyumbang kepada usaha berterusan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam memulih dan menghijaukan semula kawasan bekas lombong bijih timah.

AEON menyumbang kepada usaha berterusan FRIM dalam memulihkan dan penghijauan semula kawasan bekas lombong bijih timah.

Sejak 1996, FRIM menubuhkan stesen penyelidikan ke atas lombong bekas bijih timah, meliputi kawasan seluas 121.4 hektar yang diluluskan oleh pembuat dasar dan Kerajaan Negeri Perak bagi proses penghijauan menerusi spesies pokok yang mempunyai banyak kegunaan.

Teknik penanaman pokok secara saintifik terbukti berkesan apabila FRIM berjaya mengubah tanah tandus menjadi hutan hijau campuran yang subur, rumah kepada spesies pokok kayu komersial dan pelbagai hidupan liar.

Tetamu kehormat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin turut menyertai program penanaman pokok bersama-sama kanak-kanak dari SMK Bidor, SMJKC Choong Hua dan SMK Syeikh Abdul Ghani bersama penduduk tempatan, sukarelawan dari Jepun, pegawai kerajaan, pelajar Universiti Malaya (UM), pegawai FRIM, kakitangan AEON dan rakan perniagaan.

Sebagai tanda sambutan ulang tahun AEON ke-30, syarikat itu menanam 30 spesies pokok dan tumbuhan seperti pokok beruas, pokok kajaput, pokok ce­ngal dan pokok kapur di stesen pe­nyelidikan. Sebanyak 8,000 daripada tumbuhan terbabit dipilih untuk memelihara dan mengekalkan ekosistem kawasan itu.

"Selain mewujudkan kawasan hijau untuk generasi akan datang, kita turut berharap menerusi program yang dianjurkan sebegini dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat, malah AEON komited untuk meneruskan misi dan menegaskan amalan dan kepentingan untuk melindungi dan memulihara alam sekitar," kata Pengerusi Kehormat dan Pengasas Yayasan Alam Sekitar AEON Jepun, Takuya Okada.

"Selaras dengan prinsip AEON, aktiviti dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat memberi tumpuan kepada masyarakat dan alam sekitar. Sempena sambutan ulang tahun AEON yang ke-30, kami akan meneruskan pelbagai inisiatif sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia terutamanya ahli AEON dan masyarakat setempat," ujar Pengerusi AEON Malaysia, Datuk Abdullah Mohd Yusof.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, kejayaan menghijaukan kampus utama FRIM di Kepong membolehkan kawasan terbabit diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada 2009 dan perisytiharan sebagai Warisan Kebangsaan pada 2012.

"Usaha yang giat dijalankan di Bidor diharap turut sama mencapai pengiktirafan yang sama di Kepong. Stesen penyelidikan FRIM Bidor adalah kawasan bijih timah pertama di negara ini yang dilakukan secara sistematik dan berjaya 'dihijaukan' dengan penanaman spesies tumbuhan hutan hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:00 AM