Riyadh: Seorang lelaki yang dihukum mati selepas didapati bersalah diberi pengampunan dan dibebaskan selepas 22 tahun dipenjarakan setelah keluarganya membayar wang darah berjumlah SR20 juta (RM21 juta) kepada keluarga mangsa.

Mohammmed Ali Al Qahs dipenjarakan ketika dia berusia 15 tahun kerana menyebabkan kematian seorang budak dalam satu pergaduhan di Dammam, bandar di timur Arab Saudi.

Anggota keluarganya menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mengumpulkan wang berkenaan selepas mahkamah bersetuju menangguhkan hukuman mati ke atasnya, lapor akhbar Sabq.

“Kami membayar wang itu di mahkamah dan keluarga mangsa mengampunkan anak kami. Dia berusia 15 tahun ketika mula dipenjarakan dan hari ini (semalam), dengan usianya yang sudah mencecah 37 tahun, dia dibebaskan,” kata bapa saudara defendan Mohammed bin Hamad Al Qahs.

Menurut undang-undang syariah yang diamalkan di Arab Saudi, seorang pembunuh boleh mengelak dihukum mati dan dibebaskan jika dimaafkan oleh keluarga mangsa selepas membayar wang darah sebanyak SR300,000 (RM320,000), jumlah yang ditetapkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, keluarga mangsa dibenar menuntut jumlah yang lebih tinggi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:36 AM