Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar, mencatatkan pendapatan RM695.2 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM61.7 juta bagi tempoh enam bulan pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dengan margin keuntungan selepas cukai sebanyak sembilan peratus.

Bagi suku kedua 2015, jumlah perolehan meningkat 11 peratus kepada RM365.8 juta manakala keuntungan selepas cukai meningkat lebih daripada 100 peratus kepada RM42.3 juta berbanding suku pertama berikutan kesan landasan yang rendah dan sentimen perniagaan yang semakin baik sejak Jun sempena Ramadan serta perayaan Aidilfitri.

Pengerusi Media Prima Tan Sri Johan Jaaffar berkata, keputusan kewangan Media Prima bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2015 terjejas oleh perbelanjaan pengiklanan yang lembab dan sentimen makroekonomi berwaspada.

“Kumpulan menjangkakan tempoh persaingan sengit dalam industri untuk tahun ini namun kami yakin berjaya mengekalkan kedudukan sebagai peneraju industri iaitu sebagai konglomerat media terkemuka yang terus memberikan pulangan kukuh kepada pemegang saham,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam

Beliau berkata, Lembaga Pengarah Media Prima turut mengisytiharkan dividen interim pertama 3.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2015 yang akan dibayar pada 30 September ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, margin keuntungan selepas cukai positif mencerminkan usaha berterusan untuk mengkaji semula dan meningkatkan kecekapan dalaman di samping pengurusan kos dengan berkesan.

“Oleh sebab perniagaan dan keadaan pasaran yang mencabar, Media Prima akan fokus terhadap pelaksanaan strategi utama kepada pertumbuhan pengiklanan dalam tempoh kewangan enam bulan yang berikutnya kerana perbelanjaan pengiklanan dijangka meningkat pada akhir tahun ini berdasarkan arah aliran lalu,” katanya.

Untuk media cetak, kumpulan memperkenalkan dua produk baru iaitu ZIP dan BHPlus pada awal suku kedua 2015 sebagai usaha kekal relevan semasa mengembangkan kehadiran digital.

Penerbitan harian serta mingguan Kumpulan mengekalkan kedudukan pembaca mereka dengan Harian Metro dan Metro Ahad menikmati angka gabungan pembaca seramai 4.7 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:30 AM