Saya ada kekeliruan iaitu apakah hukum membawa telefon bimbit yang tersimpan gambar dan video lucah ketika menunaikan solat?

Keliru

Selangor

Gambar dan video lucah adalah haram kerana mendedahkan aurat dan menonton adegan orang lain melakukan persetubuhan. Ia pula boleh mendorong penonton meniru dan melakukan jenayah zina dan rogol.

Begitu juga menyimpan gambar dan video lucah adalah haram. Ia sepatutnya dibuang dan dihilangkan kerana semuanya termasuk dalam perkara maksiat. Tindakan membuangnya mendapat pahala kerana menghilangkan perkara maksiat.

Membawa telefon bimbit yang mengandungi gambar dan video lucah ketika menunaikan solat mempunyai banyak implikasi, antaranya ia dapat mengganggu tumpuan dalam solat.

Tujuan solat untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan menumpukan sepenuh perhatian kepada-Nya.

Solat juga adalah suruhan Allah yang dapat menghalang seseorang daripada melakukan perkara jahat dan mungkar.

Kemudahan teknologi sepatutnya digunakan sebaik mungkin dan bukan untuk tujuan maksiat.

Mudah-mudahan solat yang didirikan dapat membangunkan diri seseorang supaya menjadi hamba Allah yang baik dan terhindar daripada maksiat. Hukum solat itu tetap sah jika cukup rukun dan syaratnya. Anda ada kemusykilan, sila e-mel kepada: fikrah@mediaprima.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 4:21 AM