Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad, mengumumkan pelantikan Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah Media Prima berkuatkuasa 1 September depan.

Pelantikan itu susulan tamatnya tempoh enam tahun perkhidmatan Tan Sri Johan Jaaffar.

Iskandar, 47, dilantik ke Lembaga Pengarah Media Prima pada 4 September 2009.

Beliau kini adalah Naib Pengerusi serta Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan Kumpulan.

Beliau menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Nominasi dan Ganjaran (Remuneration) dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko dalam Lembaga Pengarah Media Prima.

Beliau juga adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad selain menjadi ahli Lembaga Pengarah Axis-Reits Managers Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan VADS Berhad.

Sementara itu, Media Prima turut mengumumkan pelantikan Datuk Raja Zaharaton Raja Zainal Abidin, 67, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa 13 Ogos 2015.

Pelantikan Fateh Iskandar dan Raja Zaharaton juga mencerminkan komitmen kumpulan dalam melaksanakan amalan terbaik serta tadbir urus korporat yang baik dengan hampir 80 peratus komposisi Lembaga Pengarah terdiri daripada Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

Perubahan itu juga meningkatkan penyertaan wanita dalam Lembaga Pengarah Media Prima Berhad (MPB) kepada 25 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 9:49 PM