Oleh Mohd Rizal Abdullah
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Syarikat Penerbangan Malindo Air mengesahkan sebuah pesawat Boeing 737-900E melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Ismail (LTSI) di Senai, Johor kira-kira 3.45 petang tadi.

Pengarah Komunikasi dan Perhubungan Awam Raja Sa'adi Raja Amrin, berkata, penerbangan OD1028 itu terpaksa melakukan pendaratan cemas berikutan seorang penumpangnya mengalami serangan jantung.

Menurutnya, pesawat itu dalam perjalanan dari Lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan dijadualkan sampai pada 6.20 petang.

"Bagaimanapun ia terpaksa dilencongkan ke LTSI bagi menurunkan penumpang terbabit sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Penumpang tersebut dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 1:33 AM