Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menafikan berlaku kebocoran kertas soalan Matematik Kertas 2 Kod 1449/2 bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.

Menurut kenyataan KPM, khabar angin yang tersebar menerusi laman media sosial Facebook itu juga mendakwa peperiksaan bagi kertas terbabit akan diulang pada 5 Disember ini.

“KPM menegaskan dakwaan kebocoran kertas itu di Melaka, Selangor dan Sabah adalah tidak benar,” menurut kenyataan itu di sini.

Sehubungan itu, peperiksaan SPM berjalan mengikut jadual.

Sejumlah 455,839 calon menduduki peperiksaan SPM 2014 di 3,655 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 3 November lalu hingga 4 Disember depan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 8:40 PM