MUKHRIZ (kanan) menyampaikan replika cek RM3,000 kepada Wei Feng (tengah) sambil perhatikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Aminuddin Omar.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Alor Setar: Seramai 19 atlet negeri yang meraih pingat pada temasya Sukan SEA Singapura, Jun lalu menerima ganjaran RM56,000 daripada kerajaan negeri bagi menghargai sumbangan mereka menaikkan nama negara.

Pada temasya itu, atlet Kedah berjaya menyumbang enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa dalam 12 jenis sukan.

Acara yang menyumbang pingat adalah perahu layar, badminton, bola jaring, hoki, pencak silat, sepak takraw, bowling, memanah, taekwando, ragbi, menembak dan ping pong.

Pemenang pingat emas menerima insentif RM3,000, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000) yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada majlis sambutan Aidilfitri Majlis Sukan Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, semalam.

Lebih membanggakan pelayar muda negara Mohd Fauzi Kaman Shah, 13, mengungguli senarai penerima terbanyak RM6,000 atas pencapaian dua pingat emas dalam kategori optimis individu dan berpasukan.

Fauzi berkata, temasya itu kali kedua disertainya dan tidak menyangka meraih ganjaran besar atas kejayaan merangkul pingat emas.

“Sebelum temasya itu, saya memang mensasarkan dua pingat emas dan tidak menyangka hasrat itu tercapai tambahan pula pada Sukan SEA Myanmar saya hanya meraih gangsa,” katanya.

Pemain badminton negara Chong Wei Feng, 28, yang merangkul emas acara perseorangan lelaki berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana tidak menjangka menerima imbuhan itu.

“Imbuhan ini akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk memburu kejayaan dan merangkul lebih banyak pingat.

“Tumpuan utama saya sekarang adalah ingin memperbaiki ranking dunia untuk layak ke Sukan Olimpik Rio,” katanya yang berasal dari Sungai Petani.

Wei Feng berkata dia akan menyertai Terbuka Vietnam 24 Ogos ini

“Pada masa ini saya menghuni ranking ke-37 dunia dan perlu memburu tempat dalam kelompok 16 terbaik sekiranya mahu ke Olimpik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:34 AM