ABDUL Fattah (kiri) melihat lakaran pembangunan fasa pertama sambil disaksikan Nik Azman.
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: MYANGKASA Bina (MYANGKASA) anak syarikat Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA) dilantik sebagai perunding pemasaran pembangunan bagi dua projek Kota Seribong di sini yang bernilai RM1 bilion.

Projek pembangunan hartanah di Pasir Hor membabitkan dua fasa iaitu pembinaan 757 unit lot komersial dan 1,000 unit rumah di Pasir Hor yang akan dilaksanakan sebuah syarikat Bumiputera, United Flagship Development Sdn Bhd (United Flagship).

Selain itu, projek berkenaan turut membabitkan pembinaan hotel dan kondotel di Kota Bharu.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Kota Sri Seribong projek pertama MYANGKASA di Kelantan sebagai perunding pemasaran.

“Fasa pertama iaitu pembinaan 757 unit premis perniagaan termasuk kedai, bengkel dan gudang di atas tanah seluas 50.5 hektar dengan kos RM445 juta dan dijangka siap pada akhir 2018 manakala fasa kedua membabitkan 1,000 unit rumah di atas tanah seluas 42 hektar dengan kos RM225 juta.

“Projek pembinaan hotel dan kondotel akan bermula pada akhir 2015 dan dijangka siap pada 2018 dengan kos kira-kira RM300 juta,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MYANGKASA Bina dengan United Flagship.

MYANGKASA diwakili oleh Abdul Fattah manakala United Flagship diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Nik Azman Nik Mustapha.

Abdul Fattah berkata, langkah itu diambil sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahu koperasi bukan sahaja memberi keuntungan kepada ahlinya, malah sebagai penggerak ekonomi negara dengan menjalankan projek berimpak tinggi.

“Kerajaaan sudah memberi pengiktirafan kepada koperasi untuk bersama pihak swasta dan kerajaan untuk menjadi pemain utama dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:15 AM