Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia akan menenggelamkan 12 lagi kapal asing yang ditahan kerana didakwa memasuki perairan negara itu secara haram.

Kapal berkenaan akan ditenggelamkan pada 18 Ogos depan, sehari selepas negara itu menyambut hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-70.

Ketua pengarah bahagian penerangan tentera laut Indonesia, M Zainuddin berkata di Jakarta, lokasi menenggelamkan kapal berkenaan bagaimanapun masih dibincangkan dengan kementerian kelautan dan perikanan.

Menurutnya, langkah memusnahkan kapal itu berdasarkan keputusan perbicaraan yang berkait dengan undang-undang perikanan.

“Kapal yang akan ditenggelamkan itu ditangkap selepas gagal menunjukkan dokumen kebenaran menangkap ikan yang sah ketika ditahan di perairan Indonesia,” katanya.

Kapal yang akan dimusnahkan itu berasal dari Vietnam, Thailand, Filipina dan Malaysia.

Zainuddin juga berkata, jumlah kapal yang ditenggelamkan itu mungkin bertambah jika proses perbicaraan ke atas beberapa lagi kapal berakhir sebelum tarikh berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:02 AM