PEMBANTU rumah yang dituduh membunuh anaknya (tengah), teman lelakinya dan rakannya yang didakwa membantu pelakukan pembunuhan itu.

Sharjah: Polis menahan seorang pembantu rumah warga Habsyah yang didakwa membunuh bayinya berusia enam minggu sebelum mencampakkanya ke dalam laut.

Polis menemui mayat bayi itu di dalam kotak yang diikat batu-bata oleh wanita terbabit dan rakannya di kawasan pantai di sini, minggu lalu.

Menurut laporan akhbar tempatan, polis berjaya mengenal pasti identiti wanita itu sebelum dia ditangkap di Ajman.

Dia mengaku membunuh anak lelakinya dengan bantuan seorang rakan selepas hamil hasil hubungan luar nikah dengan teman lelakinya, juga warga Habsyah.

Lelaki itu kemudiannya ditangkap di Dubai.

Wanita itu juga didapati melanggar undang-undang imigresen dan buruh apabila melarikan diri daripada majikan sebelumnya untuk bekerja di tempat lain.

Akhbar Emarat Al Youm melaporkan: “Dia mengaku membunuh bayinya dengan bantuan rakannya. Mereka menyumbat bayi itu di dalam kotak sebelum mengikat batu-bata untuk menenggelamakannya.”

Menurut laporan itu, teman lelaki wanita terbabit mengaku menjalinkan hubungan sulit dengannya, tetapi menafikan terlibat membunuh bayi itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 7:56 AM