SHAH ALAM: Seorang bekas kapten kapal dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang bomoh yang menjalin hubungan sulit dengan isterinya dengan menembak mati mangsa, awal tahun lepas.

Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim memerintahkan tertuduh, Shahrunizam Salleh, 44, dari Bandar Kinrara, Puchong, Petaling Jaya, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 8 Jan tahun lepas.

Shahrunizam didakwa menyebabkan kematian Asli Hamid, 44, di tepi Jalan Pekaka 8/70A, Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, antara 8.30 malam hingga 9.30 malam pada 4 Jan tahun lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:05 PM