LADANG nanas MD2 di Pusat Pembangunan Teknologi Tanaman Nanas Alor Bukit, Pontian, Johor.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kini berada di landasan yang kukuh dalam memperluaskan tanaman nanas di seluruh negara.

Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali bertekad untuk memastikan tanaman nanas bakal menjadi antara tanaman utama negara berikutan permintaan yang memberangsangkan dari pasaran tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, nanas segar sudah mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia seperti China, Korea, Jepun dan Timur Tengah.

“Bagi pasaran tempatan, kajian menunjukkan purata aliran pemakanan nanas bagi seorang rakyat negara ini sudah meningkat daripada 11.78 kilogram (kg) setahun pada 2013 kepada 13.36kg pada 2014.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tahun 2016-2020, sebanyak RM102.6 juta diperuntukkan LPNM bagi menjalankan tujuh projek yang membabitkan pengukuhan tanaman nanas.

“Ia selari dengan hasrat untuk mencapai sasaran keluasan tanaman nanas seluas 14,000 hektar menjelang 2020 berbanding 10,000 hektar pada masa kini,” katanya.

Samsolbari berkata, pelbagai program transformasi dilakukan termasuk melaksanakan program pembiakan benih varieti premium MD2 bagi memenuhi keperluan penanaman yang tinggi.

“Memperluaskan tanaman nanas secara bersepadu seperti di Rompin Integrated Pineapple Plantation (RIPP), Pahang, berkeluasan 600 hektar.

“Bekerjasama dengan kerajaaan negeri dalam membangunkan tanah terbiar dan menggalakkan penanaman nanas secara ladang mini.

“Mengikut analisis yang dibuat LPNM, pekebun yang mengusahakan tanaman nanas melebihi dua hektar bagi varieti MD2, boleh memperoleh purata pendapatan bersih hingga RM6,000 bagi setiap hektar sebulan,” katanya.

Menurutnya, LPNM kini memberi tumpuan kepada penanaman nanas berskala komersial yang boleh diuruskan secara berkelompok atau melalui koperasi untuk memastikan pengusaha yang terbabit mampu memperoleh pendapatan lebih baik melalui pengurusan cekap dan sistematik.

“Selain itu, industri hiliran berasaskan nanas turut menjadi fokus utama LPNM untuk membantu usahawan dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS) memperoleh manafaat serta memberi tambah nilai kepada buah nanas itu sendiri.

“Antara produk IKS berasaskan nanas yang mendapat permintaan tinggi seperti sos nanas, jem nanas, chip nanas, kopi nanas, biskut serat nanas dan kuih popular tart nanas,” katanya.

Samsolbari menaruh harapan dan keyakinan terhadap LPNM dalam usaha mentransformasikan industri nanas di negara ini.

“Ia melalui perancangan yang menyeluruh dan hala tuju strategik yang membabitkan aktiviti merangkumi keseluruhan rantaian nilai bermula dari pering­kat huluan hingga ke hiliran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 12:52 PM