AZMI (tengah) menunjukkan rokok yang dirampas dalam serbuan di Kampung Simpang Sepayang, Rompin, petang semalam.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 4,000 karton rokok seludup bernilai lebih RM500,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Simpang Sepayang, Rompin, petang semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 2.30 petang itu, rumah yang terletak di dalam ladang kelapa sawit itu dipercayai dijadikan gudang sementara untuk menyimpan rokok berkenaan.

Komander PPM Wilayah Tiga Asisten Komisioner Azmi Ibrahim berkata, pihaknya melakukan intipan beberapa bulan selepas mendapat maklumat orang awam sebelum serbuan dilakukan.

“Kita mendapati rumah berkenaan tidak berpenghuni dan terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menjumpai kira-kira 3,330 karton rokok putih dan 707 karton rokok kretek yang disimpan di dalam bilik dan ruang tamu rumah itu," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Azmi berkata, rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran sekitar pantai timur dan pihaknya sedang mengesan individu yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 3:04 PM