ANTARA pola yang dihasilkan Rosita.
ROSITA perlu mencuba pola yang dihasilkan terlebih dulu bagi memastikan rekaan dan ukuran tepat.
ROSITA menunjukkan pola jubah lelaki yang berjaya dihasilkannya.

Susunan Hajahfarhana Tarmudi

Ramai yang tahu menjahit, namun ada yang meluahkan rasa agak sukar menghasilkan rekaan pola pakaian sendiri. Ia sekali gus membuatkan tukang jahit terpaksa mengehadkan penerimaan tempahan untuk sesuatu jenis pakaian kerana tidak yakin mampu menyiapkan jahitan seperti yang diminta pelanggan.

Lebih memburukkan keadaan apabila lakaran pola pakaian yang dihasilkan sering menghadapi masalah ukuran yang tidak tepat terutama di bahagian lengan baju.

Menyedari kesulitan dialami kebanyakan tukang jahit pakaian, Pengarah Urusan Pusat Rekaan Fe­syen FTIM Rosita Jaafar menjalankan kajian sendiri dan melakukan inisiatif untuk membantu memudahkan menghasilkan pelbagai potongan pakaian.

“Lakaran pola yang dihasilkan ini sesuai digunakan untuk semua ahli masyarakat yang mahu menceburi perniagaan dalam industri pakaian atau menjahit pakaian sendiri.

“Usaha ini bertujuan membantu memudahkan proses jahitan sama ada bagi individu yang menerima tempahan secara pukal atau untuk kegunaan sendiri.

“Malah, ia juga membantu individu yang tidak mempunyai banyak masa untuk hadir ke kelas atau kekura­ngan kos perbelanjaan untuk ke kelas jahitan dapat menjahit dengan mudah,” katanya.

Mudah hasil pelbagai rekaan

Namun, pola berkenaan hanya sesuai dijadikan panduan kepada individu yang mempunyai kemahiran menjahit, tetapi agak lemah menghasilkan lakaran rekaan di atas kertas.

Setiap satu pola pakaian yang disediakan dilengkapi pelbagai saiz dan arahannya juga mudah untuk difahami kerana tidak menggunakan cara rumit.

Malah, pola yang disediakan juga mengikut saiz diinginkan bagi memudahkan tukang jahit menjahit potongan rekaan yang diinginkan terutama kepada penjahit pukal.

Ini kerana pasaran masa kini sudah boleh menerima jenama tempatan dan tidak ada masalah bagi penjahit untuk menambah pendapatan dengan menerima tempahan jahitan untuk pelbagai jenis pakaian.

“Sejak dulu lagi, niat saya hanya ingin membantu individu yang tidak mempunyai keyakinan tinggi, namun mahu berjaya dalam bidang jahitan terutama bagi mereka yang menjalankan perniagaan dari rumah.

“Lakaran pola yang disediakan ini membuatkan kerja menjahit menjadi lebih pantas kerana kebanyakan tukang jahit tidak mempunyai keyakinan tinggi untuk melakar pola,” katanya.

Ujarnya, memang dia perlu mengeluarkan kos perbelanjaan sendiri untuk menghasilkan lakaran pola untuk dicetak di atas kertas yang bersaiz besar terutama dari segi kos menggunakan mesin pencetak.

Disebabkan ia kali pertama dikeluarkan, banyak perkara yang perlu diambil perhatian terutama mendidik pembeli menggunakan pola dengan betul, cara jahitan dan olahannya

Tujuannya ingin mengajar pembeli seluruh Malaysia, namun disebabkan faktor jarak yang jauh, dia merancang mengadakan kelas menggunakan lakaran pola menerusi laman YouTube.

“Cara berkenaan menggalakkan individu khususnya wanita yang mahu memulakan kerja dari rumah. Idea ini sudah tercetus sejak penubuhan FTIM dan saya menyasarkan untuk mewujudkan lakaran pola bagi memudahkan tukang jahit menerima tempahan.

“Walaupun idea berkenaan sudah muncul sekian lama, baru tiga tahun kebelakangan ini saya melakukan kajian sendiri, ukuran dan lakaran pola secara manual (lukisan tangan).

“Akhirnya, saya bersyukur kerana segala kerja keras selama ini berjaya melengkapkan lakaran pola dalam format yang boleh difahami semua orang,” katanya.

Bagi memudahkan peng­guna memahami pola berkenaan, dia menggunakan ukuran asas saiz masyarakat Asia. Terdapat 32 pola yang disediakan untuk pakaian kanak-kanak, wanita dan lelaki.

Rekaan termasuk moden dan tradisional seperti gaun, jubah, blaus, baju kurung dan baju Melayu. Perancangan akan datang, Rosita ingin mencipta pola pakaian bayi bagi memberi pilihan yang pelbagai kepada pengguna.

Ujarnya, setiap pola tidak dijual dengan harga mahal iaitu serendah RM25 setiap satu kerana tujuannya adalah untuk membantu tukang jahit meraih pendapatan yang lebih berbanding sebelum ini kerana mengetahui banyak rekaan fesyen terkini.

Fahami bahasa fesyen

Pada masa sama, dia juga mendidik dan memberi kefahaman kepada tukang jahit terutama yang menjalankan perniagaan di rumah dengan penggunaan bahasa fesyen.

“Tidak ramai yang tahu maksud penggunaan bahasa fesyen seperti potongan yang digunakan dalam jahitan pakaian dan material yang digunakan.

“Apabila ramai tukang jahit yang faham dengan penggunaan bahasa fesyen, ini menggalakkan mereka supaya lebih sensitif dengan cita rasa diinginkan mengikut trend terkini.

“Selain itu, ia juga membuatkan pelanggan lebih yakin dengan hasil jahitan apabila kita memahami butir perkataan yang sering digunakan dalam dunia fesyen sejak dulu hingga ke hari ini,” katanya.

Jika boleh, dia mahu semua tukang jahit mampu menghasilkan pelbagai rekaan fesyen yang menarik selepas mempelajari kemahiran menjahit.

Ini kerana di dalam dunia serba mencabar, keba­nyakan kita terutama suri rumah mahu membantu suami ­dengan menambah pendapatan keluarga dengan melakukan perniagaan di rumah.

“Bidang fesyen ini sangat luas jika kita rajin meneroka dan mencuba kerana ia boleh membantu menambah pendapatan keluarga. Siapa tahu, hasil jahitan kita dapat dikenali dan berjaya seperti jenama besar lain.

“Bagi saya, kunci utama untuk berjaya di dalam apa saja bidang diceburi ialah dengan mempunyai keyakinan dan rajin untuk berjaya selain berdoa kepada Allah.

“Jika gagal, jangan berputus asa dan cuba cari jalan penyelesaian untuk mengatasi sebarang kegagalan yang dihadapi,” ujarnya mengakhiri bicara.

Sebarang maklumat lanjut, layari www.rositabeads.com atau boleh dapatkan koleksi pola hasil ciptaan Rosita di stor buku terpilih di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 12:36 PM