ZULIN.
ZULIN anggap Ariz tak lebih daripada kawan.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kembara seni Zulin Aziz sebelum ini agak hambar, namun selepas muncul dalam Anugerah Skrin 2013 sebagai pelawak jemputan, nama bekas peserta program realiti lakonan Pilih Kasih musim pertama ini kian bersinar.

Peluang mengacara Melodi selama enam bulan turut menyerlahkan auranya. Sehingga kini, Zulin sudah mendapat kepercayaan mengendalikan beberapa program TV.

Terbaru pengacara Diva di TV9 ini mempertaruhkan nasib sebagai penyanyi apabila bakal tampil dengan single berjudul Terbiar.

Lagu berentak bossa nova dan balada itu ciptaan komposer Singapura, Ayad Sakti.

“Setiap kali mengacara, saya diminta menyanyi. Ia secara tidak langsung beri idea kepada saya untuk menghasilkan single sendiri.

“Mulanya tidak terfikir langsung untuk serius, tetapi selepas dapat lagu jatuh cinta pula,” katanya.

Tanpa sebarang pengalaman Zulin mengakui bukan mudah merakamkan lagu. Bagi mendapatkan hasil terbaik, dia terpaksa merakam berulang kali.

“Selain komposer, Ariz dan One daripada kumpulan Forteen banyak membantu saya sebelum proses rakaman. Ariz antara orang pertama mendengar lagu ini sehingga boleh hafal melodinya,” kata Zulin.

Jelas Zulin dia mahu dikenali sebagai artis serba boleh. Bukan hanya boleh berlakon, mengacara dan melawak, tetapi turut mencipta nama sebagai penyanyi.

“Saya mencuba nasib. Andai ramai suka, saya akan terus menyanyi.

“Walaupun tidak tahu apa akan jadi selepas ini, saya tidak boleh buat separuh jalan. Insya-Allah selepas ini Ariz mahu saya menyanyikan lagu ciptaannya,” kata Zulin.

Selain itu, Zulin bakal mengarah teater berjudul 3 Janda. Bergenre komedi, karya ciptaannya itu menampilkan Jihan Muse, Sherry Al Hadad dan Forteen sebagai teraju utama.

“Sepatutnya projek ini dipentaskan Mei lalu, tetapi disebabkan barisan pelakon sudah terikat dengan komitmen lain, ia terpaksa ditangguhkan. Saya masih menunggu tarikh daripada mereka.

“Ini percubaan pertama saya. Saya mengikuti pengajian dalam bidang teater di ASWARA, rugi jika tidak memanfaatkannya,” katanya.

Dalam rancak merencana kerjaya, Zulin mengakui rindu menghidupkan watak berat.

“Kebelakangan ini saya banyak ditawarkan watak komedi. Malah dicop pelakon komedi walhal sebelum ini saya bawa watak berat.

“Saya rindu melakonkan watak berat seperti pada awal kemunculan dulu. Namun apakan daya, rezeki buat masa ini lebih kepada komedi. Andai ada peluang saya mahu bawa watak lebih serius dan beremosi,” katanya yang akan kembali beraksi di samping Sherry Al Hadad dalam drama komedi terbitan Suhan Movies tidak lama lagi.

Mengulas hubungan rapatnya dengan Ariz, Zulin selesa meletakkan anggota Forteen itu sebagai kawan baik.

“Hubungan kami tak lebih daripada kawan. Mungkin kami banyak berkongsi minat yang sama jadi orang ingat kami bercinta. Bukan tak ada kawan lelaki lain, tetapi Ariz saja boleh melayan kerenah saya.

“Dia tak pernah pertikai perangai buruk saya dan sering menyokong usaha saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 10:11 AM