ANGGOTA keselamatan Afghanistan memeriksa lokasi serangan berani mati di lapangan terbang Kabul.

Kabul: Sekurang-kurangnya lima orang maut apabila pengebom berani mati Taliban meletupkan keretanya di pintu masuk lapangan terbang Kabul dalam serangan berdarah terbaru di ibu negara Afghanistan itu.

Taliban - yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu- mempergiatkan serangan walaupun bergelut dengan masalah dalaman membabitkan perubahan dalam kepemimpinannya berikutan kematian ketua mereka Mullah Omar.

Pemerhati menganggap peningkatan keganasan ini menunjukkan usaha pemimpin baru, Mullah Akhtar Mansour mengalihkan pandangan daripada kemelut di dalam pergerakan itu dalam pada perancangan rundingan damai dengan kerajaan juga semakin terlerai.

Jurucakap polis Kabul Ebadullah Karimi berkata: “Dalam kejadian itu pengebom kereta menyerang pintu pagar utama lapangan terbang.

“Lima orang awam terbunuh dan 16 yang lain cedera termasuk beberapa kanak-kanak.”

Kenyataannya disahkan kementerian dalam negeri.

Asap tebal dilihat di lokasi letupan yang berlaku pada waktu makan tengah hari.

Jurugambar AFP mendakwa melihat cebisan daging mangsa yang rentung di keliling pos keselamatan di mana penumpang yang mahu menaiki penerbangan menjalani pemeriksaan badan pertama sebelum memasuki lapangan terbang.

Jurucakap Taliban Zabiullah Mujahid berkata, dua kenderaan milik tentera bersekutu asing menjadi sasaran utama serangan itu. Dia mendakwa semua di dalam kenderaan itu terbunuh, namun Taliban sering memperbesarkan kesan akibat serangan mereka.

Serangan itu menyusuli beberapa kejadian pengeboman di Kabul, Jumaat lalu, yang berlaku berhampiran kompleks tentera, akademi polis dan pangkalan pasukan khas tentera Amerika Syarikat seterusnya mengakibatkan sekurang-kurangnya 51 maut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 7:26 AM