SOO (baju hijau), Low (dua kanan) serta Eric masing-masing didenda selepas mengaku bersalah. FOTO Yazit Razali
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tiga jurujual telefon bimbit masing-masing didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku salah atas pertuduhan mencederakan penganggur dalam satu insiden di Plaza Low Yat, bulan lalu.

Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Low Leong Seng, 29; Eric Chan Weng, 23, dan Soo Weng Hing, 26.

Mereka turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, di Tingkat G, Plaza Low Yat, dekat sini pada 4.57 petang, 11 Julai lalu.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 1:22 PM