BIKANA jaring gol penyamaan Terengganu.
Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Percaturan bijak pemangku ketua jurulatih Ahmad Yusof yang mengamalkan corak menyerang, ternyata berbaloi apabila Terengganu mencatat kemenangan 2-1 ke atas musuh tradisi Kelantan dalam saingan Liga Super kelmarin.

Lebih membanggakan, strategi diterapkan jurulatih yang menyambut hari jadi yang ke-55 kelmarin dilihat semakin menjadi biarpun menerima tekanan daripada pihak lawan sebaik wisel pertama ditiupkan pengadil.

Kejayaan anak buahnya bangkit dengan dua jaringan masing-masing menerusi pemain pertahanan import Vincent Bikana dan bekas penyerang kebangsaan Mohd Ashaari Shamsuddin biarpun ketinggalan tidak sampai seminit aksi bermula hasil jaringan Mohd Fakri Saarani mendapat pujian daripada pihak pengurusan dan peminat.

Ketajaman penyudah yang sebelum ini menjadi milik Paulo Rangel yang kini digantung tiga bulan bagaikan terubat apabila melihat kelibat Norshahrul Idlan Talaha, Issey Nakajima-Farran, Ismail Faruqi Ashari dan Mohd Ashaari yang kini semakin bertenaga untuk memburu gol.

Selain itu, kecemerlangan bekas penjaga gol kebangsaan Mohd Sharbineee Allawee Ramli yang menyelamatkan banyak percubaan bahaya daripada rangkaian penyerang Kelantan juga menjadi faktor skuad Peteh Terengganu Peteh itu pulang dengan senyuman apabila mengutip tiga mata penuh.

“Saya tabik kepada pemain yang beraksi lebih 100 peratus sehingga kami berjaya menumbangkan pasukan The Red Warriors walaupun pada awalnya kami ketinggalan dengan jaringan pantas pasukan tuan rumah.

“Semangat melawan tinggi diperagakan pemain harus dipuji dan mengharapkan momentum kemenangan ini terus diraih apabila Terengganu bakal berdepan dengan Perak Rabu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Kuala Nerus,” katanya.

Dengan kemenangan itu, Terengganu yang mencatat lima kemenangan berturut-turut kini mendaki satu anak tangga dikedudukan kelima liga dengan mengumpul 29 mata dengan baki empat perlawanan lagi untuk memburu tempat ketiga liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 8:00 AM