MAKANAN kaya antioksidan, nutrien bantu tubuh lawan penyakit.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Makanan penuh antioksidan seperti sayur dan buah-buahan amat penting dalam mengurangkan risiko kanser terutama bagi mereka yang terdedah kepada faktor penyebab kanser di persekitaran.

Setiap orang disaran mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari bagi memastikan kesihatan berada pada tahap optimum selain mengekalkan berat badan ideal.

Malah, ada sesetengah makanan didapati mampu melindungi diri daripada kanser kerana mengandungi kandu­ngan antioksidan yang tinggi.

Bawang putih

Ini antara makanan terbaik untuk melindungi diri daripada kanser. Kajian mendapati mereka yang lebih banyak makan bawang putih kurang berisiko mendapat kanser berkaitan organ pencernaan seperti esofagus, perut dan kolon.

Buah keluarga beri

Buah daripada kumpulan beri bukan saja memiliki rasa yang sedap, malah jusnya mengandungi khasiat hebat yang mampu melawan kanser. Ia kaya dengan antioksidan yang menghentikan proses tubuh menghasil­kan radikal bebas yang boleh merosakkan sel secara semula jadi.

Ia juga dikatakan boleh menghalang kanser daripada merebak dan membesar.

Tomato

Segelintir pengkaji mendapati tomato mampu melindungi lelaki daripada kanser prostat. Ia melindungi DNA sel daripada rosak yang boleh bertukar menjadi kanser.

Kaya dengan antioksidan lycophene, tubuh akan lebih mudah menyerap lycophene tomato yang diproses seperti sos.

Brokoli, kubis

Sayuran seperti brokoli dan kubis mempunyai komponen yang melindungi tubuh daripada radikal bebas, melambatkan perkembangan ketumbuhan dan menggalakkan sel kanser untuk mati.

Teh hijau

Teh hijau juga melindungi sel tubuh dan menangkis radikal bebas yang merosakkan sel sihat. Bahan catechin dalam teh hijau boleh mengecutkan ketumbuhan dan mengurangkan pertumbuhan sel ketumbuhan.

Gandum

Gandum juga mempunyai komponen mengurangkan risiko kanser kerana ia kaya dengan serat dan antioksidan. Antaranya oat, barli, beras perang, roti gandum dan pasta yang boleh mengurangkan peratusan risiko kanser kolorektal.

Kunyit

Kunyit mengandungi curcumin yang boleh mengurangkan risiko kanser. Ia menghalang sel kanser berkembang, mengecutkannya dan menyekat pertumbuhan kanser.

Sayuran hijau

Sayuran hijau seperti bayam dan salad kaya dengan lutein dan beta karotin serta boleh menyekat perkembangan sel kanser.

Anggur merah

Anggur merah kaya dengan antioksidan dikenali sebagai resveratrol. Jus anggur juga mengandungi antioksidan yang mampu menghalang pertumbuhan sel kanser di peringkat permulaan.

Lobak merah

Kaya dengan nutrien yang mampu melawan penyakit, ia mengandungi beta karotin yang melindungi membran sel daripada kerosakan akibat toksin selain melambatkan perkembangan sel kanser. Kandungan vitaminnya mampu menangkis kanser mulut, esofogus dan perut. Lobak merah yang dimasak memiliki khasiat lebih tinggi berbanding yang mentah, selain rasa lebih enak.

Badam

Snek sihat ini mengandungi serat yang menghalang tubuh menyerap lemak, sekali gus mempercepatkan penurunan berat badan. Ia juga boleh menurunkan tekanan darah, menghaluskan kulit dan melindungi jantung, selain memastikan sel badan sentiasa sihat.

Kacang hitam

Semakin gelap warna kacang, semakin tinggi kandungan antioksidannya. Ia mengandungi protein, vitamin dan serat yang baik serta dapat melindungi kesihatan bagi mengelak pelbagai penyakit termasuk kanser.

Buah kiwi

Kaya dengan serat, vitamin C dan E bagi mengelak radikal bebas merosak­kan sel tubuh. Ia juga mampu menurunkan lemak tidak sihat dalam badan, seterusnya meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Cendawan

Ia mampu meningkatkan sistem pertahanan badan untuk melindunginya daripada jangkitan atau kanser. Nutrien yang ada pada cendawan membuatkan ia pilihan yang baik dalam hidangan sekeluarga.

Bawang merah

Ia mengandungi kompaun yang boleh melawan pelbagai jenis penyakit. Kandungan flavonoid yang ada boleh mengelak kerosakan pada DNA yang boleh menyebabkan kanser.

Oregano

Daun oregano selalu digunakan dalam masakan Itali dan ia kaya dengan serat, vitamin K dan antioksidan seperti bayam. Antioksidan boleh melindungi kerosakan pada sel.

Kuaci

Ia boleh dijadikan snek sihat kerana kaya dengan asid amino yang menenangkan tubuh. Biji kuaci juga mengeluarkan pitosterol yang membantu menurunkan kolesterol dan menghalang sesetengah kanser daripada terbentuk.

Tembikai

Sama seperti tomato, ia kaya de­ngan lychopene yang membantu me­ngelak beberapa jenis kanser serta merendahkan risiko serangan jantung. Namun, tembikai menawarkan lebih banyak jumlah karotenoid yang menyihatkan arteri dan meningkatkan peredaran darah.

Jagung

Kaya dengan antioksidan karotenoid dan lutein, jagung mampu melindungi sel tubuh daripada radikal bebas seterusnya memelihara kesihatan dalam jangka masa lebih panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:01 AM