KANAK-kanak yang menjadi mangsa dera nenek tiri muda. FOTO Mohd Syafiq Ambak
Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my


Permaisuri: Tahanan reman terhadap nenek muda yang didakwa mendera cucu tirinya, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, disambung sehingga Selasa ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan terperinci terhadap wanita terbabit.

Permohonan sambung reman dibuat di Mahkamah Majistret Besut, semalam, selepas perintah tahanan reman sejak pasangan terbabit ditangkap pada Ahad lalu berakhir kelmarin.

Suspek berusia 27 tahun bersama pasangannya yang juga datuk kepada kanak-kanak berkenaan berusia 51 tahun sebelum ini ditahan reman selepas pasangan suami isteri terbabit ditahan di kediaman mereka di Kampung Banggol, di sini, pada 2 petang, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Idris Mohamed berkata, pihaknya memerlukan siasatan lanjut dan terperinci sebelum mendakwa pasangan terbabit di mahkamah.

"Siasatan dijalankan menerusi pelbagai aspek termasuk dan kita masih lagi menunggu laporan pemeriksaan daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu," katanya.

Ahad lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai menjadi mangsa dera nenek tirinya yang berusia 27 tahun berikutan beberapa kesan kecederaan pada badan dan mukanya termasuk bengkak mata kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 6:31 PM