Suspek kes tikam ibu bapa angkat (kiri) berusia 33 tahun di bawa ke Mahkamah Majistret Jitra untuk perintah tahanan reman hari ini. - Foto NSTP oleh SHARUL HAFIZ ZAM
Oleh Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Jitra: Lelaki yang menyerang dan menikam ibu bapa angkatnya di rumah mereka di Taman Suria 2 di sini, direman lima hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Jitra Rusmini Mat Rashid kira-kira jam 10 pagi hari ini dan menetapkan suspek direman hingga Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, permohonan reman terhadap suspek berusia 33 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan polis.

"Permohonan reman itu bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Sementara itu di mahkamah sama, dalam kes berasingan seorang remaja lelaki direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang pelajar sekolah menengah di sini, bulan lalu.

Suspek berusia 15 tahun itu dikatakan merogol rakan kakaknya berusia 17 tahun di rumah suspek di Kampung Hutan Palas, Kodiang, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 25 Julai lalu.

Kedua-dua suspek dilihat hadir ke mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi semalam dengan trak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 3:58 PM