Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Selepas kontroversi dikaitkan dengan dadah awal tahun ini, pelakon Along Eyzendy, 36, kembali bangkit mengorak langkah baru sebagai anak seni.

Selain terus bergerak sebagai pelakon, Along atau Md Eyzendy Md Aziz turut bergiat aktif bergelar usahawan produk tempatan.

Katanya, dia baru saja berjinak-jinak dalam dunia bisnes dan sekarang sudah mula menjenama produk menggunakan nama sendiri.

“Saya ambil produk tempatan dari Kelantan dan pasarkannya di sini.

Mak saya yang banyak tolong cari dan saya hanya perlu pergi ambil saja di sana.

“Antara produk yang saya pasarkan, serunding, kerepek, popia mini, karipap mini, dodol dan air botol,” katanya.

Along bersyukur, usaha itu mula menampakkan hasil terutama pada Ramadan lalu melalui jualan bazar di beberapa lokasi strategik.

Katanya, permintaan orang Kuala Lumpur terhadap produk tempatan dari Kelantan amat memberangsangkan.

“Saya dalam perancangan untuk memasarkan air botol jenama sendiri dan sedang memperincikan teknik pemasaran lebih besar.

Pada masa ini, saya masih lagi berunding dengan kilang pemprosesan air tersebut.

“Inspirasi untuk berniaga datang daripada mak saya yang memang usahawanita di kampung. Dia banyak beri galakan menjadikan perniagaan sebagai pendapatan sampingan selain berlakon,” katanya bangga.

Disebabkan sambutan terhadap produk tempatan semakin tinggi, Along tidak menolak kemungkinan menjadikan bidang perniagaan sebagai pendapatan utama berbanding lakonan.

“Sejak bergerak sendiri tanpa pengurusan MIG Talent, saya lebih bebas. Sepanjang bersama mereka, saya banyak belajar. Untuk tawaran besar, saya ada pengurus yang tolong uruskan. Cuma kerjaya sendiri saya urus sendiri.

“Saya cuba mengintai peluang mengarah, cuma belum terbuka. Ada juga cuba cari ‘job’ dan ­projek tapi sejak industri filem mengalami era kejatuhan, tidak ramai penerbit berani untuk melabur,” katanya.

Dalam pada itu, Along mencipta peluang sendiri dengan menghasilkan skrip, namun permintaan yang tidak terlalu tinggi, dia pasrah.

Pelakon filem Lagenda Budak Hostel dan Budak Kelantan itu juga menanti penuh debar untuk beraksi dalam filem Tamil.

Katanya, hasil pertemuan dengan produser filem dari India, beberapa pelakon filem tempatan akan terbabit. Lebih menarik, filem itu akan menampilkan hero Tamil popular antarabangsa, Rajinikanth.

“Produser itu memberitahu filem berkenaan akan babitkan pelakon tempatan pelbagai bangsa. Kalau projek itu betul-betul jadi, kemungkinan besar penggambaran akan bermula Oktober depan.

“Apa pun, kalau segalanya berjalan lancar, saya anggap ia sebagai rezeki. Pada masa sama, saya juga tidak sabar menantikan filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium yang dijangka keluar pada September ini,” katanya.

Tidak mahu terlalu teruja dengan tawaran itu, Along lebih selesa berbicara mengenai teater Y Sebuah Muzikal yang kini dalam proses latihan.

Katanya, teater itu yang ke-15 selama pembabitannya dalam dunia lakonan teater tempatan sejak hampir lebih sedekad lalu.

“Kali terakhir saya berlakon teater di pentas besar ialah Teater Muzikal Tun Mahathir arahan Rosminah Tahir, kira-kira empat tahun lalu.

“Y Sebuah Muzikal bercerita mengenai golongan belia dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Belia 4B sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia,” katanya memegang watak Rosli, pemuda kampung lantang.

Selain filem dan teater, Along juga dalam persiapan untuk masuk set penggambaran supertelefilem terbaru arahan Ahmad Idham yang menjalani penggambaran di Johor Bahru, Johor tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:02 AM