DARI kiri Eu, Pengerusi Eksekutif I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong dan Pengarah Eksekutif I-Berhad Tey Siew Thuan pada Mesyuarat Agung Tahunan I-Berhad.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: I-Berhad memperuntukkan pelaburan sebanyak RM3 bilion bagi membangunkan beberapa lagi siri produk berkaitan pelancongan di i-City sekali gus menarik lebih ramai pelawat.

Timbalan Pengerusi I-Berhad Datuk Eu Hong Chew berkata, pembangunan berkeluasan 28.8 hektar tanah berstatus pegangan bebas bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu meliputi projek rekreasi, hospitaliti, perniagaan runcit, MICE serta pelancongan perubatan dengan menyasarkan untuk menarik lebih 30 juta pelawat setahun menjelang 2020.

Katanya, sehingga kini, Kumpulan I-Berhad melabur RM70 juta di Taman Tema di i-City yang menarik kira-kira 90,000 pelawat setiap minggu dan merancang untuk terus melabur sehingga RM100 juta menjelang tahun 2018.

“Produk berkaitan pelancongan ini terdiri daripada taman tema, tiga hotel (termasuk Best Western i-City Hotel dan Hilton), pusat mbeli-belah CentralPlaza@i-City yang dilengkapi dengan tempat makan di sepanjang pinggir sungai, pusat konvensyen dan seni persembahan dan projek pelancongan perubatan.

“Bagi usaha sama membangunkan pusat beli-belah CentralPlaza@i-City dengan Kumpulan Central Pattana (CPN), kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ke empat tahun 2015 dan pusat beli-belah itu akan dilengkapi tempat makan di sepanjang pinggir sungai, menggunakan konsep Clarke Quay yang terkenal di Singapura,” katanya.

Menurutnya, sempena status i-City sebagai pusat siber MSC Malaysia, Kumpulan I-Berhad bercadang melabur dalam pusat pembedahan robotik yang akan memacu revolusi kepada cara perkhidmatan kesihatan di Malaysia, sebagai sebahagian pelan pelancongan perubatannya.

Beliau berkata, pusat konvensyen dan seni persembahan serba canggih juga akan dibina bersebelahan pusat beli-belah berkenaan dan menjadi lokasi sesuai untuk mengadakan pelbagai acara MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran) dan persembahan bertaraf dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:04 AM