NAJIB bersalam bersama Nguyen selepas sidang media. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Malaysia dan Vietnam sedang meneliti kemungkinan mengadakan kerjasama tiga pihak dengan Thailand untuk meneroka dan membangunkan sumber minyak dan gas di kawasan yang bertindih di tiga negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam bidang pertahanan dan keselamatan terutama untuk menangani pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan.

"Pada masa sama, kami juga sedang meneliti cadangan untuk membawa masuk pembantu rumah Vietnam untuk bekerja di negara ini.

"Selain itu, Malaysia dan Vietnam juga komited untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak AS$10 bilion (RM39.2 bilion) ketika ini kepada AS$15 bilion (RM58.8 bilion) menjelang 2020," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat empat mata dan delegasi sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung di Perdana Putra di sini.

Najib berkata, Malaysia adalah negara kelapan terbesar yang melabur di negara itu dan 50 peratus pelaburan di Vietnam adalah daripada Petronas

Terdahulu, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai Penggajian Pekerja Malaysia-Vietnam dan pelanjutan blok PM3 CAA antara Petronas dan PetroVietnam.

Tan Dung turutdiiringi isteri, Tran Thanh Kiem serta delegasi yang terdiri daripada beberapa menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Lawatan ini adalah ketiga ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 6:55 PM