Khairuldin (kiri) ketika meninjau lokasi kejadian kes cubaan melarikan mesin ATM di Taman Putra.
Oleh Siraj Mohd Zaini
am@hmetro.com.my

Ampang: Cubaan penjenayah melarikan mesin pengeluaran wang automatik(ATM) dari sebuah bank di Jalan Bunga Tanjung 6A, Taman Putra, di sini, awal pagi tadi, gagal.

Dalam kejadian pada 4.49 pagi itu, dua lelaki dilihat menaiki pacuan empat roda cuba melarikan mesin itu dengan menariknya menggunakan tali yang diikat pada kenderaan itu.

Bagaimanapun, penggera di bank berbunyi menyebabkan mereka melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, pihaknya percaya dua suspek berkenaan adalah individu sama yang cuba merompak sebuah mesin ATM di Dataran Mentari, Petaling Jaya, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi merakam imej dua lelaki berkenaan dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

"Rakaman CCTV mendapati seorang suspek memegang besi kuku kambing dan seorang lagi memegang tukul besi. Mereka cuba pecahkan kunci dengan menggunakan tukul besi tetapi gagal.

"Suspek kemudiannya menyangkut tali di mesin ATM dan menariknya dengan kereta jenis ISUZU yang menyebabkan mesin terbabit tercabut keluar dan pintu kaca pecah. Pintu simpanan itu masih tidak dapat dibuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 2:54 PM