Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Kuching: Bank Negara Malaysia menyasarkan penggunaan 800,000 terminal pembayaran kad bank menjelang 2020 berbanding 240,000 terminal setakat Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Dasar Sistem Pembayaran BNM, Tan Nyat Chuan berkata, ini adalah usaha industri perbankan untuk meningkatkan kemudahan pembayaran melalui kad.

Menurutnya, dalam tempoh enam tahun, industri perbankan komited mengembangkan penggunaan kad dalam aktiviti pembayaran terutamanya dalam perusahaan kecil.

“Antaranya ialah memperkenalkan perkhidmatan terminal mudah alih point-of-sale (mPOS) yang kosnya lebih murah dan memberi peluang untuk lebih banyak perniagaan menerima pembayaran menerusi kad.

“Melalui mPOS, peniaga hanya perlu menyambungkan peranti sebesar tapak tangan kepada telefon pintar untuk menerima pembayaran menerusi kad bank,” katanya ketika sidang media Jelajah e-Pembayaran Peringkat Kebangsaan 2015 di sini, semalam.

Tan berkata, walaupun sebanyak 42 juta kad debit dikeluarkan di negara ini dengan populasi penduduk seramai 30 juta, penggunaan kad debit sebagai alat pembayaran utama masih rendah.

Penggunaan kad debit belum diperluaskan dalam kalangan peniaga kerana kos yang tinggi untuk menerima pembayaran menerusi kad. Bagi memastikan pembayaran menerusi kad adil dan berpatutan untuk semua, BNM melancarkan Rangka Kerja Pembaharuan Pembayaran Kad (PCRF) pada 23 Disember lalu.

“Dalam rangka kerja yang dilancarkan bermula 1 Julai lalu, yuran pertukaran untuk kad kredit diturunkan daripada 1.8 peratus kepada 1.1 peratus, manakala untuk debit kad, yuran serendah 1.0 hingga 0.21 peratus dikenakan untuk debit kad antarabangsa dan 0.4 hingga 0.15 peratus bagi kad debit domestik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 12:46 PM