Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jika sebelum ini semua keputusan dibuat Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak ATM (PBATM) Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap, kali ini tiba giliran orang nombor satu badan induk berkenaan, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk menentukan masa depan jurulatih B Sathianathan.

Ketika dihubungi semalam, Raja Mohamed mengesahkan pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan muktamad dan meminta agar diberikan tempoh hingga minggu depan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Enggan menjawab secara tepat, beliau hanya memberi isyarat kemungkinan besar bekas pengendali kebangsaan itu akan membimbing semula The Gladiators selepas ini.

“Minggu depan saya akan panggil semua wakil media untuk menerangkan kedudukan sebenar Sathianathan bersama pasukan.

“Mungkin surat untuk beliau juga akan diserahkan pada minggu depan, buat masa ini kami masih belum membuat sebarang keputusan. Saya harap semua pihak dapat menunggu,” katanya.

Sebelum ini, jurulatih berusia 56 tahun itu diarah berehat serta-merta susulan prestasi hambar ATM, namun tindakan melulu yang kurang profesional Timbalan Presidennya apabila mengumumkan keputusan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang bekas pengendali kebangsaan terbabit.

Bermula daripada insiden itu, kemelut kedua-dua pihak bertambah kusut dengan Sathianathan terpaksa mengheret ATM ke meja Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan keadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 11:59 AM