Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

Ampang : Pemilik kedai berusia 43 tahun dipenjara dua bulan dan didenda RM1, 000 oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan memiliki 540 batang rokok seludup di premis di Kampung Pandan Dalam, Isnin lalu.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Nasruddin Abd Rahman selepas tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan Nasruddin menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki rokok seludup berkenaan bernilai RM54 di sebuah premis tidak bertanda di nombor 2, Jalan B-1, Kampung Pandan Dalam, jam 3.15 petang, pada 3 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 11:52 AM