PERJALANAN ke BAC di Pulau Banding menaiki bot mengambil masa 10 minit.
‘WATER rafting’ boleh dicuba.
AKTIVITI ‘jungle trekking’ antara ditawarkan di BAC.
‘FLYING fox’ antara sukan tumpuan di BAC.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Hutan Simpan Belum di Gerik, Perak yang berusia lebih 130 juta tahun ialah destinasi ekopelancongan yang dikenali di peringkat antarabangsa, malah menjadi Tapak Warisan Dunia.

Bilangan pelancong luar ke Hutan Simpan Belum meningkat 50 peratus, sekali gus membuktikan hutan hujan tropika itu menjadi tumpuan orang luar kerana ia menyimpan banyak keindahan flora dan fauna.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan jika berkunjung ke sini, antaranya Belum Advanture Camp (BAC) di Pulau Banding.

Ia pulau buatan manusia yang menjadi pintu masuk utama ke Hutan Simpan Belum.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gerik yang mengambil masa lima jam membolehkan pelancong singgah dan bermalam di Belum Rainforest Resort berdekatan Pulau Banding.

Perjalanan ke Pulau Banding menaiki bot mengambil masa 10 minit dan sepanjang perjalanan, masa terasa begitu singkat kerana keindahan alam semula jadi yang memukau.

Tiba di BAC berhampiran Pulau Banding, kami dibawa melawat ke sekitar kawasan kem yang turut menempatkan chalet dan kemudahan lain seperti surau, tempat makan dan tandas.

Selain ‘jungle trekking’ dan berkayak, aktiviti lain ialah ‘water rafting’ dan ‘flying fox’. Kemudahan lain ialah Tree Top Trek dan High Rope Challenge.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang turut hadir sempat mencuba aktiviti ‘tree top trek.

BAC bukan saja memfokus kepada ekopelancongan malah ekopendidikan dan usaha memeliharan ekosistem Hutan Simpan Belum.

BAC mementingkan keselamatan dan kemudahan dikelolakan pakar bertauliah.

BAC adalah usaha sama sebuah syarikat ahli kumpulan EMKAY Group iaitu Belum Management and Conservation Sdn Bhd dengan Rainwalker Ecosystems Sdn Bhd.

Ia menawarkan pengalaman unik termasuk menyaksikan keindahan hutan hujan tropika melalui suasana bilik darjah.

Pendek kata, BAC bukan saja lokasi ideal untuk menikmati hutan hujan tropika yang menyimpan khazanah 130 juta tahun, tapi lokasi untuk beristirahat dengan melakukan pelbagai aktiviti sukan yang menyihatkan.

Layari laman web www.bacxcamp.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 10:19 AM