Kuala Lumpur: “Sepatutnya hari ini (semalam), tapi masih belum ada apa-apa perkembangan,” kata B Sathianathan mengulas permainan tarik tali Persatuan Bolasepak ATM (PBATM) yang masih berdiam diri biarpun pada mulanya memberi isyarat akan menyelesaikan kemelut itu semalam.

“Saya dimaklumkan mereka (PBATM) sudah menyediakan draf surat buat saya tapi ada sedikit masalah untuk mendapatkan tandatangan Timbalan Presiden.

“Jadi nampaknya terpaksa tunggu sehingga esok (hari ini) sebelum boleh mengetahui apa nasib saya bersama pasukan di samping gaji tertunggak yang belum dibayar,” katanya semalam.

Beliau yang digantung tidak bertali sejak April lalu, direhatkan PBATM susulan kemerosotan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kempen saingan Liga Super apabila sekadar menghuni tangga bawahan yang mengundang rasa tidak senang pihak atasan persatuan.

Lalu, bekas jurulatih kebangsaan itu direhatkan tanpa sebarang notis serta perbincangan yang jelas kerana melanggari peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Datuk Takiyuddin Hassan pada 27 Julai lalu memutuskan notis yang diberikan PBATM kepada Sathianathan tidak sah kerana melanggar prosedur ditetapkan.

FAM memberikan tempoh 14 hari untuk PBATM mengemukakan rayuan jika tidak bersetuju dengan keputusan itu dan jika tiada rayuan dibuat, Sathianathan dibenarkan kembali menjadi jurulatih ATM.

“Kalau nak diikutkan saya sudah tidak hati untuk melatih pasukan. Namun saya akan tetap menanti apa perancangan mereka untuk saya dan pasukan. Sekali lagi saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera demi kebaikan bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 8:38 AM