HUSAIN (dua dari kiri) berbincang dengan Nizam (tiga dari kiri).
Oleh Norfaisal Jahuri
sukan@hmetro.com.my


Jasin, Melaka: Kompleks Saujana Asahan, dekat sini, dipilih sebagai lokasi perlepasan dan penamat bagi Kejohanan Harian Metro Grand Prix Mountain Bike (MTB) Cuti-Cuti 1Malaysia 2014, 28 dan 29 November ini.

Kompleks di kaki Gunung Ledang itu akan menjadi gelanggang bagi peserta berkumpul dan bertanding pada hari kejohanan nanti.

Pengarah kejohanan Husain Jahit berkata, Kompleks Saujana Asahan dipilih selepas mendapat persetujuan pengurusan bagi menjadikan kawasan itu lokasi utama kejohanan.

Katanya, penganjur diberi laluan pihak pengurusan yang sedia memberi kerjasama baik dengan menyediakan pelbagai kemudahan.

“Lokasi ini amat sesuai kerana terletak berhampiran kawasan trek kejohanan dan pintu masuk ke Laman Tiga Budaya yang menjadi lokasi sempadan tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan serta Hutan Simpan Asahan.

“Malah kompleks ini lengkap dengan prasarana, kemudahan logistik serta penginapan bagi memudahkan urusan teknikal dan penganjuran,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Penyelia Kompleks Saujana Asahan Mohamad Nizam Abu Talib.

Hadir sama Pengarang Berita Harian Metro (HM) Noor Azam Abd Aziz dan Ketua Biro HM Melaka Mohd Nur Asnawi Daud.

Husain berkata, pemilihan Kompleks Saujana Asahan sangat sesuai selain lokasinya dihiasi pemandangan menarik dengan kawasan gunung dan tasik yang sesuai menjadi kawasan penganjuran aktiviti lasak.

Menurutnya, pemilihan Asahan sebagai lokasi kejohanan bersesuaian dengan misi kejohanan untuk membantu mempromosi kawasan pelancongan serta mempromosi aktiviti bersukan untuk kesihatan.

“Kejohanan ini mampu menjadikan kawasan Asahan dan Jasin menerima lebih ramai kunjungan pelancong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:04 AM