IDRIS (empat dari kiri) menyambut ketibaan penerbangan pertama pesawat Malindo Air dari Pulau Pinang. Turut menaiki pesawat berkenaan, Chandran (enam dari kiri), semalam.
Oleh Nur Ain Musdad
bisnes@hmetro.com.my

Melaka: Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air mula beroperasi secara rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam dengan menawarkan penerbangan lima hari seminggu ke Pulau Pinang dan Pekanbaru, Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, sebagai permulaan pihaknya menawarkan perkhidmatan penerbangan dua hala sekali sehari ke dua destinasi itu beroperasi pada Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat dan Ahad.

“Kami menawarkan harga tiket sangat berpatutan bagi laluan ke Melaka-Pulau Pinang serendah RM79 sehala manakala RM70 bagi laluan sehala dari Melaka-Pekan baru,” katanya selepas majlis menyambut ketibaan pesawat Malindo Air pertama dari Pulau Pinang ke Melaka di LTAM, Batu Berendam, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. Seramai 70 penumpang menaiki pesawat terbabit dari Pulau Pinang ke Melaka tiba di LTAM kira-kira jam 11.30 pagi.

Chandran berkata, penerbangan dari Pulau Pinang akan berlepas pada jam 10.10 pagi dan tiba di Melaka pada jam 11.30 pagi manakala penerbangan balik akan berlepas pada jam 3.15 petang dan tiba pada jam 4.35 petang.

“Bagi penerbangan Melaka-Pekan Baru, ia mengambil masa 1 jam 5 minit dan berlepas pada jam 11.50 pagi dari Melaka manakala penerbangan balik akan berlepas pada jam 12.50 tengah hari dari Pekanbaru.

“Penerbangan ke kedua-dua destinasi ini menggunakan pesawat ATR-72-600 baru yang boleh memuatkan seramai 72 penumpang. Setakat ini jumlah penumpang bagi kedua-dua laluan terbabit dianggarkan lebih 90 peratus daripada kapasiti penumpang setiap penerbangan,” katanya.

Beliau berkata, Malindo Air juga akan melancarkan penerbangan dari Melaka ke Kota Bharu, Kelantan bermula 21 November ini.

“Malindo Air berbangga memperkenalkan perkhidmatan terbaru ini dan berharap dapat merancakkan lagi kehadiran pelancong terutama ke Melaka dan Pulau Pinang yang terkenal sebagai tapak warisan dunia UNESCO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:04 AM