JAILANI memperkenalkan logo dan maskot baru CFM.
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memperkenalkan kaedah rebat kepada pengguna yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan syarikat telekomunikasi.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata, pengguna yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan terhadap perkhidmatan syarikat telekomunikasi melalui SKMM atau Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) yang akan mengambil tindakan susulan.

“Kita mahu pengguna di negara ini mendapat perkhidmatan telekomunikasi yang baik,” katanya di rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan CFM, baru-baru ini.

Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, CFM menerima 3,519 aduan yang majoritinya berkaitan perkhidmatan kurang memuaskan oleh syarikat telekomunikasi.

Sementara itu, Jailani memaklumkan, kerajaan bersedia memperkenalkan sistem pemberian bintang kepada syarikat telekomunikasi, sekali gus membolehkan pengguna melihat dan memilih perkhidmatan yang baik daripada mereka.

“Ia turut menjadikan syarikat telekomunikasi lebih serius menyelesaikan aduan yang dibuat terhadap mereka,” katanya.

Pemberian bintang terbabit dicadangkan sama seperti penarafan bintang kepada hotel di negara ini.

“Ia perlu sebab banyak sangat aduan dan isu yang diterima tentang kualiti perkhidmatan telco ini. Ia bagi memastikan apa yang ditawarkan selari dengan apa yang diiklankan,” katanya.

Jailani turut memperkenalkan logo dan maskot baru CFM yang diharap mampu memberi kesedaran mengenai hak pengguna dalam industri komunikasi dan multimedia.

Kedua-dua logo dan maskot terbabit melambangkan evolusi berterusan dalam memastikan hubungan semua yang relevan dan bermakna dalam industri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 11:26 AM