ZUKRI (kiri) menerima anugerah di Dubai.

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memenangi anugerah berprestij Kes Kewangan Islam Terbaik 2014 sempena Majlis Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Anugerah kepada Bank Islam dan Asian Institute of Finance itu adalah pengiktirafan terhadap amalan terbaik Bank Islam yang diketengahkan oleh Asia Institute of Finance dan usaha Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat dalam mentransformasikan bank terbabit sebagai salah satu pemain utama dalam industri kewangan Islam.

Zukri berkata, anugerah itu adalah pengiktirafan terhadap usaha Bank Islam dalam mengubah landskap kewangan Islam menjadi lebih baik dan penghargaan kepada semua kakitangan yang memberi kerjasama sebagai satu pasukan, sekali gus menunjukkan komitmen serta visi untuk mencapai matlamat dalam perniagaan.

“Kami amat berbesar hati kerana diiktiraf untuk kerja kami sejak memulakan transformasi pada 2007 di mana kami mencatat kemajuan memuaskan dan ketara dalam mencapai cita-cita untuk menjadi pemimpin global dalam perbankan Islam,” katanya selepas menerima anugerah itu di Dubai, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Bank Islam menerima anugerah Top Merchant Acquirer for B2C daripada Malaysian Electronic Corporation Sdn Bhd (MyClear) di mana ia adalah pengiktirafan ke atas Bank Islam yang berjaya mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 15 peratus.

dalam jumlah transaksi FPX B2C berbanding tahun lalu.

Anugerah itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Datuk Norasni Ayob bersempena penganjuran majlis Top Bank & Merchants Recognition Awards di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, anugerah terbabit menunjukkan komitmen Bank Islam dalam menyediakan jaminan keselamatan dan kemudahan perkhidmatan perbankan pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk membawa pembaharuan berterusan dalam industri digital.

“Kami akan memperkenalkan lebih banyak insentif dan perkhidmatan baru pada bulan akan datang memandangkan pengguna perbankan internet baru kami sudah meningkat lebih daripada 50 peratus pada setiap bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:03 AM