KETUA Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Susila Devi (kiri), Fong (tiga dari kiri) dan Pengurus Besar Kanan RAM Ratings, Pahthma Subbiah pada forum, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nilai ringgit dijangka tidak mencecah sehingga paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Pakar Ekonomi dan Ketua Penyelidikan RAM Ratings Kristina Fong berkata, terdapat banyak keadaan tidak menentu yang menyebabkan berlakunya turun naik nilai ringgit.

Beliau berkata, walaupun ringgit berada pada paras 3.86 (semalam), beliau menjangka ia hanya akan mencecah paras tertinggi 3.90 tahun ini.

“Jika dibandingkan tahun lalu, kebanyakan pergerakan ringgit berasaskan sentimen dan pada masa ini keadaan bertambah baik.

“Ini akan membantu mengurangkan tekanan yang menurun mata wang tempatan,” katanya pada taklimat media mengenai prospek ekonomi dan impak turun naik kadar pertukaran, di sini, semalam.

Forum dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kesan turun naik kadar pertukaran ke atas pengeksport tempatan.

Fong berkata, ringgit berada pada purata 3.68 tahun ini dan RAM Ratings menjangka mata wang tempatan itu mengakhiri tahun ini pada purata antara 3.70 dan 3.80 berbanding dolar AS.

“Malaysia lebih terbuka sekarang dan kali terakhir kita menyandarkan ringgit, ekonomi kita berada dalam situasi yang berbeza. Kini kita mempunyai lebih banyak pelaburan dan penyertaan asing,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai sama ada Bank Negara Malaysia (BNM) akan menimbang menyandarkan ringgit dan berkata, RAM Ratings tidak percaya ia adalah pelan monetari.

Sementara itu, mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beliau berkata, prospek pertumbuhan Malaysia masih baik dan dijangka mencapai pertumbuhan 5.0 peratus tahun ini yang mana adalah pertumbuhan paling kukuh di peringkat serantau, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

Manakala mengenai inflasi, Fong berkata, ia dijangka kekal sederhana bagi 2015 dan setakat ini inflasi Malaysia berada pada 2.0 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 6:24 AM