FOTO ihsan pembaca
Oleh Siraj Mohd Zaini

Subang Jaya: Dua penjenayah ditembak mati oleh polis D9 IPD Subang Jaya di Persiaran Puchong Prima menghala ke Puchong Tekali, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi itu, seorang wanita berusia 39 tahun yang baru saja mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank di Taman Puchong Prima, di sini, disamun dua suspek lelaki dengan memecahkan tingkap keretanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, sepasukan anggota polis yang mendapat maklumat berhubung kejadian itu menjumpai kereta suspek dan mengekorinya.

Menurutnya, kedua-dua suspek enggan menyerah diri dan keluar dari kereta sambil menghunus parang memaksa anggotanya melepaskan beberapa das tembakan.

"Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan identiti masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

"Wanita yang menjadi mangsa mengalami kecederaan di lengan kiri dan sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.

Katanya, polis turut menemui tiga bilah parang, sebuah beg tangan serta wang tunai dipercayai milik mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 3:14 PM