LI Dandan (tengah) tekun belajar bersama rakan senasib.
SEORANG kanak-kanak minum air hujan dari tangki tadahan di sekolah.
WAKTU sekolah satu-satunya masa untuk bermain bagi kebanyakan kanak-kanak ‘yang ditinggalkan’ ibu bapa.
KANAK-KANAK yang ditinggalkan ibu bapa bermain di kawasan sekolah.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Kehidupan Liang Yu­xiu dan abangnya, Zhaolu yang tinggal jauh di pedalaman China bukti kepada kesan pertumbuhan ekonomi yang ‘mencekik’ penduduknya sejak beberapa dekad lalu.

Berusia 10 dan 12 tahun, dua beradik ini tinggal bersama datuk dan nenek, membanting tulang membantu mereka menanam padi pada hujung minggu, pada hari tidak bersekolah.

Ayah mereka sudah meninggal dunia dan ibu pula berhijrah ke wilayah lain untuk mencari kerja, meninggalkan dua beradik berkenaan di Xianghe bersama orang tuanya. Xianghe satu daripada kawasan termiskin di Guangxi - antara wilayah yang paling sukar di China.

“Di rumah, saya suka menonton drama perang. Tapi saya hanya menonton televisyen selepas siap membantu datuk dan nenek di sawah,” kata Zhaolu.

Zhaolu dan Yuxiu adalah antara 61 juta kanak-kanak yang ‘ditinggalkan’ di kawasan perkampungan dan pedalaman di China oleh ibu bapa masing-masing atas tuntutan hidup untuk mencari kerja di bandar besar atau meninggal dunia. Jumlah ini dianggarkan sama dengan keseluruhan penduduk Itali.

Penghijrahan ratusan juta penduduk dari luar bandar ini secara tidak langsung membantu mengubah China daripada masyarakat yang bergantung kepada pertanian di bawah pemerintahan komunis ortodoks kepada kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia.

Tetapi, sistem ‘hukou’ iaitu permit kependudukan yang diamalkan di China menafikan hak kanak-kanak yang mengikuti ibu bapa berhijrah ke wilayah lain untuk mendapat akses terhadap pendidikan dan penjagaan kesihatan sama seperti kanak-kanak lain menyebabkan mereka terpaksa ditinggalkan di kampung halaman masing-masing.

Kebanyakannya dibesarkan oleh datuk, nenek atau saudara-mara lain. Media rasmi China melaporkan lebih tiga peratus kanak-kanak yang ditinggalkan begitu saja dan perlu berusaha sendiri untuk meneruskan hidup dengan memetik statistik dari All-China Women’s Federation.

Beberapa bulan lalu, empat beradik berusia antara lima hingga 13 tahun yang ditinggalkan ibu bapa mereka meninggal dunia selepas minum racun serangga. Media melaporkan ia adalah tindakan membunuh diri.

“Terima kasih atas jasa baik anda, tetapi sudah sampai masa untuk kami pergi.” Inilah nota yang ditemui di rumah empat beradik berkenaan di wilayah Guizhou, menurut agensi berita Xinhua.

Kematian itu mendapat simpati masyarakat dan Perdana Menteri China Li Keqiang menyeru rakyat negara Tembok Besar itu untuk ‘menghentikan tragedi seumpama itu’.

Tiga yuan (RM1.85) seminggu

Bagi Zhaolu dan adiknya, Yuxiu, setiap Isnin mereka perlu merentasi laluan sempit dan berlumpur selama 30 minit untuk sampai ke jalan besar. Di tepi jalan besar itu mereka menunggu bas dan perjalanan untuk ke sekolah mengambil masa satu jam.

Bangunan sekolah mereka yang terletak di kampung di kelilingi bukit hijau dan cerun curam batu kapur sudah tidak layak dipanggil sekolah. Keadaannya uzur dan pagarnya pula sudah berkarat, tetapi ia menampung 400 pelajar ‘yang ditinggalkan’ oleh ibu bapa.

Berbeza dengan Zhaolu dan adiknya, Li Dandan pula kehilangan kedua-dua orang tuanya dalam satu kemalangan pada Disember tahun lalu. Sejak itu dia tinggal bersama neneknya yang bergantung hidup kepada duit pencen sebanyak 300 yuan (RM185) sebulan.

Li Dandan yang baru berusia 11 tahun terpaksa berjalan selama lebih sejam untuk sampai ke sekolah bagi menjimatkan belanja. Ini kerana jika menaiki bas, dia perlu membayar tambang empat yuan (RM2.50).

“Dandan adalah anak yang sangat bertimbang rasa. Awal dulu, neneknya memberi dia wang saku tiga yuan seminggu (RM1.85), tetapi apabila jumlah itu dinaikkan kepada lima yuan, Dandan menolak. Dia hanya ambil tiga yuan saja.

“Dia bertegas dengan berkata ‘Nenek, tiga yuan sudah cukup’,” kata bapa saudaranya.

Berdasarkan maklumat rasmi, sehingga penghujung 2013, lebih 82 juta penduduk China masih hidup dalam kemiskinan dengan perbelanjaan kurang RM3.80 sehari.

Minum air hujan

Kebanyakan sekolah terpencil di luar bandar yang menjadi tempat kanak-kanak yang ‘ditinggalkan’ ini menuntut ilmu tidak mempunyai kemudahan mencukupi, kata Wei Jixue, guru di Kampung Chongshan, juga di wilayah Guangxi, di selatan China.

“Masalah paling besar untuk kanak-kanak ini ialah bekalan air minum. Di sini kami minum air hujan kerana tiada pilihan yang lebih baik. Tiada masalah bagi kami untuk minum air hujan, tetapi keadaan menjadi amat sukar pada musim kering,” katanya sambil menuding jari ke arah kanak-kanak yang berbaris panjang di tepi sebuah tangki, menunggu giliran mereka untuk minum melalui hos getah.

Semua 70 pelajar di sekolah Wei mengajar ditempatkan dalam satu kelas. Semua gred disatukan dan halaman sekolah pula dibatasi dengan dinding konkrit.

Di dinding bangunan sekolah pula tergantung kain rentang bertulis slogan yang bermaksud ‘Sayangi negara anda, sayangi kerja anda, kerja bersungguh-sungguh dan berinovasi’.

Nampaknya slogan itu hanya tinggal slogan. Ia mungkin tidak mampu menyuntik semangat anak yang ditinggalkan ibu bapa ini. Mana tidaknya, sebaik pulang dari sekolah, kebanyakannya akan sibuk membantu keluarga mencari rezeki daripada menyiapkan kerja sekolah atau bermain bersama kanak-kanak lain.

Liang Yongyao juga begitu. Ibunya meninggal dunia tiga tahun lalu dan ayahnya pula hilang keupayaan selepas mendapat serangan strok. Penyakit itu membuatkan ayahnya sukar berjalan dan kadang kala tidak berupaya untuk bekerja di ladang.

“Kerja menanam jagung memang memenatkan...tetapi ayah hanya benarkan saya bantu sikit-sikit. Selalunya ayah yang buat lebih banyak kerja daripada saya,” kata remaja berusia 12 tahun itu.

“Melihat ayah bekerja keras membuatkan saya selalu rasa bersalah. Saya lihat ayah mengerah semua tenaganya dan saya tidak tahu apa yang patut diucapkan pada ayah. Kadang kala saya rasa seperti jadi beban pada ayah,” katanya dengan suara yang perlahan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 11:21 AM