Jakarta: Anak perempuan pengasas Indonesia, Sukarno, semalam mempertahankan pemberian anugerah kenegarawan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un walaupun dikritik banyak pihak.

Rachmawati Sukarnoputri mengesahkan Jong-Un akan menerima anugerah daripada organisasinya, Yayasan Pendidikan Sukarno pada September ini atas sumbangan pemimpin itu dalam keamanan, keadilan dan kemanusiaan.

Anugerah itu sebelum ini pernah diberikan kepada ikon pembebasan termasuklah Mahatma Gandhi dan Aung San Suu Kyi.

Bagaimanapun, keputusan memberi anugerah itu kepada Jong-Un mencetuskan kritikan antarabangsa kerana pemimpin berkenaan didakwa mempunyai rekod buruk dalam hak asasi manusia.

“Tuduhan mengenai pengabaian hak asasi manusia itu adalah tidak benar.

“Semua itu adalah propaganda Barat yang mahu memburukkan kerajaan Korea Utara,” kata Rachmawati.

Bapanya yang juga presiden pertama Indonesia mula menjalinkan hubungan dengan Korea Utara pada 1950-an.

Sejak itu, Jakarta masih mengekalkan hubungan terbuka dengan Pyongyang.

“Bapa saya pernah dituduh diktator yang kejam dan pelanggar hak asasi manusia, tetapi selepas beberapa lama dakwaan itu terbukti sebaliknya,” tegasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:49 AM