PEMAIN PSG ceria menjulang trofi Juara Perancis selepas menewaskan Olympique Lyon, kelmarin.
Reuters

Paris: Ada tanda jelas Paris St-Germain akan memulakan musim baru Ligue 1 dengan penuh kekuatan, sesuatu yang membimbangkan pencabar mereka yang berharap dapat menghalang kejuaraan keempat berturut-turut kelab kaya-raya itu.

Dalam tiga musim terakhir, PSG bergelut untuk memperagakan keunggulan mereka pada awal musim dan terpaksa bangkit pada lewat saingan.

Kelab dibiayai jutawan Qatar itu, yang dijangka membeli penyerang Argentina, Angel Di Maria, mempamerkan aksi mantap pada perlawanan pramusim apabila mengatasi kelab seperti Fiorentina dan Manchester United pada Piala Juara-Juara Antarabangsa.

Kemudian mereka menang 2-0 ke atas Olympique Lyon pada aksi Trofi Juara Perancis, kelmarin.

“Kami bersatu hati dan bermain dengan lebih banyak menyerang, sesuatu yang hebat kerana saya mahu kami mengamalkan permainan sendiri berbanding lawan,” kata jurulatih Laurent Blanc.

Bagi tiga musim terakhir, PSG memulakan kempen dengan keputusan seri, setiap kali menentang pasukan lemah, namun di sebalik Blanc menganggap ia persiapan ‘kelam-kabut’, mereka kelihatan menggerunkan.

Zlatan Ibrahimovic yang beraksi di bawah tahap sebenar musim lalu sekalipun PSG menyapu bersih semua trofi domestik (Ligue 1, Piala Perancis dan Piala Liga), kelihatan berada pada tahap terbaik.

Penyerang Sweden itu kadang-kala beraksi lebih banyak di tengah bagi membolehkan Edinson Cavani, yang menjaringkan 11 gol dalam lapan perlawanan terakhir bersama PSG, menikmati lebih banyak ruang di serangan.

Penyerang Uruguay itu menyumbat gol kedua pasukan itu menentang Lyon, kelmarin.

PSG akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan menentang Lille di laman lawan Jumaat ini manakala Lyon, naib juara tahun lalu, menanti kunjungan Lorient, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:00 AM