Wellington: Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) yang dituduh menculik anaknya, ditemui bersama budak terbabit di sebuah pulau terpencil di Lautan Pasifik Selatan - kira-kira 8,800 kilometer dari rumah mereka.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) semalam berkata, Billy Hanson dilaporkan hilang oleh ibunya pada September lalu selepas gagal pulang daripada melawat bapanya, Jeffrey.

Gerakan mencari lelaki dari Seattle itu dilancarkan di peringkat antarabangsa dengan pihak berkuasa memberikan tumpuan kepada penemuan kapal layar milik Jeffrey.

Jeffrey memang dikenali sebagai seorang pelayar berpengalaman.

Walaupun diingatkan kehilangan pasangan anak-beranak itu berdepan dengan ‘segala kemungkinan’ penyiasat akhirnya mengesan mereka di Pulau Niue - sebuah terumbu karang yang turut dikenali sebagai The Rock dalam kalangan penduduk setempat.

Terumbu karang itu terletak kira-kira 2,400 kilometer dari timur laut New Zealand.

Polis Pulau Niue menangkap Jeffrey pada 29 Oktober lalu dan dihantar ke AS.

FBI berkata, lelaki terbabit mungkin didakwa menculik.

Apabila Jeffrey berlepas bersama polis meninggalkan Pulau Niue minggu lalu, Billy, 9, pula kekal di situ empat hari lagi bagi memberi masa pihak berkuasa menguruskan kepulangan kepada ibunya.

Pengarang akhbar Niue Star, Michael Jackson berkata, penduduk setempat bergilir-gilir menjaga budak itu yang kelihatan gembira dengan pengembaraan berkenaan.

“Saya nampak dia di majlis barbeku Jumaat lalu dan tiada tanda dia tertekan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:01 AM