CHAMBERLAIN (kiri) melepasi asakan pemain Chelsea, Cesar Azpilicueta.
Agensi

London: Alex Oxlade-Chamberlain muncul wira Arsenal apabila jaringan tunggalnya pada babak pertama membantu skuad kendalian Arsene Wenger mempertahankan trofi Perisai Komuniti di Stadium Wembley, malam tadi.

Lebih manis, kemenangan itu dilakar ke atas juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, Chelsea dengan pengurusnya Jose Mourinho secara terbuka mengkritik Wenger menjelang perlawanan itu.

Pemain sayap England, Oxlade-Chamberlain mengutip hantaran pendek Theo Walcott dari tengah sebelum mengawal bola seketika dan merembat dengan kaki kiri dari penjuru kanan kotak penalti ke penjuru kiri gol Chelsea melepasi jangkauan penjaga gol Thibaut Courtois.

Gol pada minit ke-24 itu juga adalah gol pertama dijaringkan Arsenal pada perlawanan menentang Chelsea bagi tempoh 506 minit.

Jaringan itu mengejutkan Chelsea yang cuba bangkit mencari gol penyamaan namun beberapa peluang mereka pada babak pertama terutama menerusi Ramires tidak berhasil.

Penyerang baru Chelsea, Radamel Falcao dimasukkan pada awal babak kedua menggantikan Loic Remy namun bintang Colombia yang dipinjamkan di Manchester United musim lalu gagal memecah kebuntuan.

Arsenal berjaya menguasai pegangan bola lebih baik pada babak kedua namun hasrat mereka mengukuhkan kedudukan gagal dengan Courtois beberapa kali menyelamatkan percubaan Santi Cazorla, Mesut Ozil dan Olivier Giroud.

Kejayaan itu kali ke-14 Arsenal memenangi perlawanan pembuka tirai musim liga sejak 1930.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 10:42 AM