Shahrul (belakang, dua dari kiri) bersama pemain tenis muda negara di Melaka sebelum ini.
Oleh Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my


Melaka: Skuad tenis Melaka bakal menghantar dua pemainnya menyertai Kejohanan Maju Tennis Malaysia Junior 2015 Sirkit ke- 8 di Sabah 20 Ogos depan.

Dua pemain itu Muhammad Haziq Aiman, 15, dan Abdullah Zubai, 16, dilihat pemain paling berbakat Melaka yang mampu menyerlah di kejohanan berkenaan.

Penyelaras pasukan Melaka Mohd Shahrul Hafiz Abd Rahman berkata, Haziq yang pernah meraih tangga kedua bawah 16 tahun pada sirkit ke-3 mampu menyerlah.

Katanya, kesungguhan Haziq dan Abdullah ketika sesi latihan di Kompleks Tenis Ayer Keroh juga dilihat amat membanggakan dan tidak mustahil mereka mampu meraih kejayaan di Kota Kinabalu kelak.

Menurutnya, kejohanan menawarkan wang tunai lebih RM7,000 itu membabitkan kategori bawah 16, 14, 12 dan 10 tahun bagi lelaki dan perempuan disertai pemain dari Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Kedah Perlis, Sarawak dan Terengganu.

“Apa saya harapkan mereka mampu mengikut jejak pemain paling berpotensi negara, Shamirul Shahril M Adam yang juga pernah meraih kejayaan di sirkit Melaka. Kecemerlangan pemain itu dilihat menjadi idola pemain lain untuk menyamai prestasi yang dikecapinya kini.

“Kejohanan ini juga bakal mendedahkan lebih ramai bakat baru dalam sukan tenis terutama dalam kalangan peserta bawah 10 dan 12 tahun,” katanya

Shahrul juga yakin Haziq dan Abdullah ke grand final di Kuala Lumpur hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 10:36 AM