FORKEY Doe (kiri) jaring dua gol NS Matrix.
Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my

Seremban: “Saya puas kerana dapat menjaringkan dua gol membantu Negeri Sembilan (NS) Matrix meraih kemenangan dalam liga selepas keputusan beberapa perlawanan sebelum ini kurang memberangsangkan,” kata Francis Forkey Doe.

Ayam tambatan berusia 29 tahun dari Liberia itu menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-49 dan 65 ketika NS Matrix menewaskan Kuantan FA, 2-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat lalu.

Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah skuad Hoben Jang Hoben di laman sendiri musim ini.

Forkey Doe berkata, sebelum turun ke padang dia mahu memastikan NS Matrix mencapai kemenangan, selain kembali mencatatkan nama selaku penjaring selepas gagal melakukannya dalam beberapa perlawanan sebelum itu.

“Agak lama tidak menjaringkan gol dan kini saya gembira kerana kembali mendapat sentuhan. Namun apa yang penting pasukan mencapai kemenangan dan mempertahankan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Saya berharap dapat terus jaringkan gol dalam perlawanan akan datang bagi melonjakkan kembali pasukan di kedudukan terbaik carta,” katanya semalam.

Biarpun menang mengatasi Kuantan FA, kedudukan NS Matrix tidak berubah di tangga ketujuh liga dengan mengumpul 24 mata daripada 16 perlawanan selepas meraih enam kemenangan, enam seri dan empat tewas.

Sementara itu, kapten pasukan, Rezal Zambery Yahya yakin kemenangan itu dapat meningkatkan lagi keyakinan rakan sepasukan menjelang tugas getir pertembungan dengan T-Team di tempat lawan, malam esok.

“Kami tahu T-Team memiliki kelebihan namun mereka juga ada kelemahan dan kami akan akan berusaha memberikan tentangan sengit serta memastikan pulang membawa mata daripada Kuala Terengganu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 9:31 AM