AMAL pemakanan yang baik.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Organ dalaman tubuh manusia seperti hati, usus, ginjal, paru-paru, kulit, darah dan sistem limfa secara semula jadi bekerjasama untuk memastikan racun kimia diubah menjadi bahan yang kurang berbahaya untuk disingkirkan dari tubuh.

Bahan toksin dalam tubuh secara semula jadi dikeluarkan melalui peluh, air kencing atau najis sebagai satu cara detoksifikasi atau mengeluarkan bahan buangan dan racun dari dalam tubuh.

Bagi memudahkan proses detoksifikasi ini, kita boleh membantu tubuh dengan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran sihat yang kaya kandungan antioksida.

Terdapat pelbagai jenis bahan yang kaya dengan khasiat dan antioksida semula jadi yang jarang diketahui ramai. Malah, ada antara kita hanya mengamalkannya tanpa mengetahui nutrien penting yang terkandung di dalamnya amat baik untuk proses detoksifikasi.

Berikut antara buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan antioksida yang mampu menyingkirkan bahan berbahaya dari tubuh dan pastinya membantu penghadaman lebih sempurna.

Bawang putih

Kandungan sulfur dalam bawang putih menjadikan salah satu kegunaan dapur ini bahan detoks yang mengagumkan. Bawang juga memiliki sifat antibiotik sehingga boleh membantu menyembuhkan dalaman tubuh. Selain itu, antioksida dalam bawang juga melindungi ginjal daripada kesan racun akibat pengambilan ubatan.

Limau

Buah ini membantu membersihkan sistem pencernaan dan mencegah batu ginjal berkembang. Limau juga rendah gula semula jadi dan kalori menjadikannya amat baik untuk diet.

Kajian juga menunjukkan kulit limau kaya dengan flavanoid. Flavanoid adalah antioksida kuat yang membantu mengurangkan radang, memperbaiki jaringan yang rosak dan melindungi hati.

Avokado

Kandungan antioksida iaitu daripada jenis gluta pada buah ini berfungsi menyingkirkan racun bahaya dari tubuh. Dengan mengurangkan bahan kimia dan racun dari dalam tubuh, anda rasa lebih sihat dan segar.

Lemon

Jus lemon sememangnya diketahui kaya vitamin dan antioksida yang membantu melindungi hati dan melarutkan bahan kimia dari dalam tubuh. Pengambilan lemon secara teratur dapat meningkatkan kesihatan.

Ubi bit

Makanan berkarbohidrat daripada jenis ubi ini kaya betaine dan pektin yang membantu melindungi hati dan sistem pencernaan.

Brokoli

Brokoli juga kaya dengan kandungan antioksida. Selain itu, brokoli tinggi kandungan enzim yang membantu melancarkan sistem pencernaan. Brokoli mentah lebih disarankan untuk diambil kerana nutrisi yang tinggi di dalamnya.

Kubis

Kubis mengandungi sulfur yang penting untuk mengurai bahan kimia dari dalam tubuh seperti racun serangga hingga ubat yang diambil ketika sakit.

Biji bunga matahari

Bahan ini kaya dengan vitamin E dan ia tergolong antara herba yang efektif membersihkan hati. Biji bunga matahari atau biasa disebut kuaci juga boleh menyingkirkan racun berbahaya yang berada di dalam tubuh.

Biji bunga matahari juga membantu mengawal paras kolesterol agar sentiasa rendah. Kuaci kaya dengan asid linoleat yang membantu mengurangkan pembentukan plak dalam otot dan saraf sehingga mempermudahkan aliran darah ke arteri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:00 AM