SENAPANG patah diguna suspek. FOTO Polis
Oleh Mohd Rizal Abdullah
am@hmetro.com.my


Marudi: Lelaki warga asing berusia 40 tahun mati ditembak rakan sekerjanya dalam kejadian di rumah pekerja syarikat pembalakan di Long Lama, Marudi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 9.45 pagi itu, mangsa, Arnold Diragut mati di tempat kejadian akibat tembakan di rusuk kanan.

Pemangku Ketua Polis Marudi Asisten Superintendan Jaimi Husin berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama tiga rakannya termasuk suspek sedang minum minuman keras dan dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa mengakibatkan suspek tidak berpuas hati lalu mengambil senapang patah di motosikalnya.

"Suspek berusia 41 tahun itu kemudiannya terus menembak mangsa. Mangsa mati di tempat kejadian akibat pendarahan teruk," katanya.

Katanya, polis menerima panggilan dari pengurus syarikat berkenaan berhubung kejadian itu seterusnya menahan suspek.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 4:24 PM