BETTY bersama set bubur inspirasi daripada resipi sendiri.

Lakonan ‘hidup’ dalam setiap karakter dibawa, membuatkan Betty Rahmad mempunyai kumpulan peminat tersendiri.

Karakter Wati dilakonkannya dalam filem adaptasi daripada novel nukilan Hannah Dhaniyah, ‘Suami Aku Ustaz’ di sisi Nora Danish mempunyai kekuatan tersendiri.

Dalam sudut lain, dia turut mempunyai minat dalam perniagaan apabila menyertai rakan baiknya, Nora Danish membuka kafe.

Menurut Betty, dia teruja dapat berganding bersama Nora serta tiga lagi rakannya untuk menyediakan menu untuk kafe berkenaan.

Mengakui selain berlakon dia turut berminat berniaga, Betty berasa dengan kafe terbabit, dia mempunyai sesuatu untuk diisi ketika tiada komitmen dengan penggambaran.

“Sejak kafe dibuka saya sering menghabiskan masa di sini melayan pelanggan. Rasanya lebih puas apabila dapat mengetahui sendiri perkembangan produk apabila rata-ratanya berpuas hati dengan menu kami sajikan.

“Malah membuat saya lebih gembira, menu ‘signature’ saya, set Bubur Betty antara mendapat sambutan pelanggan.

“Saya sendiri meminati hidangan bubur berasa hidangan ini sukar dan didapati sekitar Kuala Lumpur. Jadi saya rasa sesuatu yang unik jika dihidangkan di Kopi XOXO,” katanya.

Tambah Betty ruang dekorasi kafe begitu santai kerana dia mahu sesuatu yang sesuai untuk dikunjungi keluarga dan rakan.

“Saya dulu sering bersantai dengan kawan di kafe, jadi untuk itu saya mahu perkara sama. Disebabkan itu konsep dekorasi cukup ‘cozy’ dengan ada ruang sofa serta meja kayu menyuntik mood relaks,” katanya yang turut menyumbang suara bersama aktor Adi Putra dalam lagu runut filem berkenaan, Cintaku Kernamu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:00 AM