PAKAR forensik melakukan siasatan di tempat kejadian, selepas sekumpulan sukarelawan kampung di Yala diserang awal pagi semalam.

Bangkok: Empat belas orang cedera dalam serangan di selatan Thailand semalam.

Serangan awal pagi terhadap sukarelawan keselamatan kampung, pasukan perlindungan tempatan yang ditubuhkan kerajaan, dipercayai dilakukan kumpulan pemisah wilayah berkenaan.

Polis berkata, serangan di Yala itu membabitkan penggunaan bom tangan dan senjata automatik.

“Kira-kira 30 hingga 40 suspek menyerang sebuah pangkalan sukarelawan di Yala sekitar jam 1 pagi (waktu tempatan). Mulanya mereka mengguna bom tangan, kemudian melepaskan tembakan dengan M16. Serangan berakhir 30 minit kemudian,” kata Ketua Polis Yala Tanongsak Wangsupha.

Yala antara empat wilayah di selatan Thailand yang bergolak sejak gerakan menuntut pemisahan bermula awal 2004 lalu.

“Kumpulan pemisah mahu menguasai kampung berikutan penduduk kini bekerjasama dengan pihak berkuasa. Semua sukarelawan keselamatan itu beragama Islam,” katanya.

Majoriti penduduk Selatan Thai keturunan Melayu dan beragama Islam.

Lebih 6,400 orang terbunuh sejak keganasan bermula pada 2004.

Penganalisis berkata, keganasan berkurangan selama beberapa bulan awal tahun ini berikutan langkah kerajaan meningkatkan keyakinan penduduk dan kawalan keselamatan.

Bagaimanapun, ia kembali meningkat beberapa minggu lalu.

Dua askar mati ditembak dan mayat mereka dibakar dalam kejadian di Narathiwat pada 17 Julai lalu.

Seminggu sebelum itu, tujuh orang terbunuh dalam beberapa serangan bom. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:13 AM