WENGER (kiri) dan Mourinho sudahpun mula berperang sebelum sepak mula Perisai Komuniti.
ARSENAL juara Piala FA
CHELSEA juara Liga Perdana Inggeris.

Buat kali kedua dalam sejarah perlawanan tahunan, Chelsea dan Arsenal akan kembali bertemu Ahad ini. Jangan lupa 2 Ogos ini apabila Jose Mourinho dan Arsene Wenger bertemu bagi merebut gelaran pertama musim ini.

Gunners adalah pasukan ketiga paling berjaya dalam sejarah penganjuran perlawanan tahunan itu selepas Manchester United yang menjuarainya sebanyak 20 kali dan Liverpool (15).

Skuad London utara itu menjuarai Perisai Komuniti sebanyak 13 kali berbanding Chelsea yang menang empat kali.

Begitupun kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu dalam acara tahunan itu pada 2005, Chelsea menewaskan Gunners 2-1.

Arsenal menewaskan bekas juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City 2-1 musim lalu untuk menjulang Perisai Komuniti 2014 tetapi kali ini mereka berdepan ujian lebih mencabar menentang Chelsea yang dikendalikan Mourinho.

Perisai Sumbangsih FA adalah perlawanan sepak mula tidak rasmi musim Liga Perdana Inggeris yang membabitkan pertandingan di antara juara Liga Perdana Inggeris dan Piala FA. Jika sesebuah pasukan menang kedua-dua trofi maka naib juara liga akan bertanding merebut trofi itu.

Edisi ke-93 Perisai Komuniti akan dipertandingkan di Wembley selepas kedua-dua pasukan kembali dari jelajah pramusim.

Aksi sulung Petr Cech menyarung jersi Arsenal akan mempertemukannya dengan kelab lamanya. Penjaga gol tinggi lampai itu memenangi pelbagai gelaran bersama Blues sebelum digantikan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Penjaga gol berusia 33 tahun itu menyertai seteru Chelsea kerana dia tidak mahu berjauhan dengan keluarganya di London.

Ramai membayangkan perpindahan Cech ker Arsenal menjadikan mereka pencabar utama. Pengalaman dan kebijaksanaan yang dimiliki bekas pemain Chelsea itu penting buat anak buah Wenger.

Kapten Chelsea, John Terry percaya bahawa bekas rakan sepasukannya mampu menyelamatkan 12 hingga 15 mata dengan pasukan barunya.

“Jika Arsenal mendapatkan Petr Cech, sudah pasti dia akan memperkuatkan mereka. Dia akan menyelamatkan 12 atau 15 mata semusim,” katanya.

“Petr adalah pemain profesional yang luar biasa tahun lalu. Apabila anda diketepikan pasukan memang sukar menerimanya tetapi apabila dia diturunkan, dia sememangnya luar biasa.

“Kerana itu dia berhak mendapat pujian. Kami memahami dia mahu beraksi dalam kesebelasan utama tetapi tiada siapa yang mahu melihatnya meninggalkan kelab.

“Kehilangannya pasti dirasainya dan akan memperkukuhkan mana-mana kelab yang disertainya.”

Cech juga akan membawa mentaliti juaranya ke dalam skuad yang mungkin membawa kesan positif. Kehadirannya di depan gawang dan di bilik persalinan sudah pasti akan menaikkan semangat skuad dan pengurus.

Dalam lima perlawanan terakhir membabitkan semua kejohanan, termasuk perlawanan pramusim, Gunners menang kesemua perlawanan terbabit.

Rekod kelab barat London itu bagaimanapun lebur di tangan New York Red Bulls di International Champions Cup di Amerika Syarikat.

Namun Chelsea jauh di depan pesaing mereka apabila membandingkan rekod pertemuan mereka dalam lima perlawanan terakhir.

Chelsea menang tiga daripada lima perlawanan dan Gunners gagal merakam sebarang kemenangan.

Perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris musim 2015-16 akan dipertandingkan di Old Trafford pada 8 Ogos apabila skuad Manchester United berwajah baru kendalian Louis van Gaal berdepan Tottenham Hotspurs.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 12:04 PM