Kuala Lumpur: Fiesta Usahawan dan Fiesta Ulang Tahun ke-54 Sekolah Kebangsaan Bangsar (FUYYOO! SKB) Sabtu ini dijangka menghimpunkan alumni Sekolah Kebangsaan Bangsar (SKB), Jalan Pantai Baru di sini dari 1961 hingga 2014.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKB Jef Hazimin Jaafar berkata, bersempena FUYYOO! SKB satu majlis minum petang akan diadakan bertujuan mengumpul dana bagi pembinaan struktur bumbung di dataran sekolah berkenaan.

Katanya, infrastruktur yang turut berfungsi sebagai dewan perhimpunan itu diperlukan bagi menampung lebih ramai bilangan murid.

"Majlis pada Sabtu ini juga merangkap jamuan Hari Raya Aidilfitri adalah untuk menyambung silaturrahim antara bekas murid, bekas guru dan guru yang sedang berkhidmat di sekolah ini,” katanya.

Menurut Jef, sehubungan itu, pihak penganjur menjual tempat duduk semasa jamuan minum petang itu berharga RM70 satu atau RM560 semeja untuk lapan orang sebagai permulaan dana. Katanya, sumbangan bekas-bekas murid, usahawan dan korporat turut dialu-alukan bagi menjayakan program tersebut.

“FUYYOO! SKB turut mendapat sokongan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Cawangan Lembah Pantai Brickfields,” katanya.

SKB dibuka pada 1961 untuk penduduk Pantai Dalam, Kampung Kerinci dan Kampung Abdullah Hukum. Sebagai sekolah di kawasan bandar, ia kini mempunyai hampir 2,000 murid membabitkan sesi pagi dan petang.

Sebarang pertanyaan mengenai program dan sumbangan boleh diajukan kepada Jef di talian 019-3716121 atau namakujepptv@gmail.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 5:36 PM